SANUSI PERBETULKAN NARATIF ISU AIR, DIJADIKAN ALAT POLITIK SEJAK BERZAMAN
Roslinda Hashim
BANDAR BAHARU - Isu bekalan air di negeri ini tidak wajar terus dipolitikkan, sebaliknya perlu difahami berdasarkan fakta sebenar termasuk cabaran dan kekangan pelaksanaan projek infrastruktur itu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyerahan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di daerah Bandar Baharu merupakan detik penting untuk memperbetulkan persepsi atau naratif yang sering disalah tafsir sesetengah pihak.
“Masalah bekalan air di Kedah ini dijadikan naratif politik sejak sekian lama. Ini detik penting untuk kita betulkan naratif itu.
“Dalam dunia ini, kalau tak ada air, orang boleh bersabar jika naratifnya betul. Tapi kalau tak ada air dan naratifnya pun tak betul, orang akan marah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di sini, hari ini.
Menurut beliau, penjelasan yang tepat dan telus kepada rakyat amat penting supaya mereka dapat memahami situasi sebenar tanpa dipengaruhi persepsi yang mengelirukan.
“Jika diberi justifikasi yang betul dan benar dalam sesuatu situasi. Orang akan hadapi masalah dengan penuh kefahaman, tidak memberontak, tidak beremosi.
“Bila orang hadapi masalah, justifikasi tak ada. Tiada siapa cerita perkara sebenar, ia menimbulkan kemarahan. Apabila kita hadapi apa-apa situasi yang boleh menimbulkan kesukaran, mesti ada justifikasi, sama juga dengan projek infrastruktur air,” katanya.
Sanusi jelaskan, sejak pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2008, audit mendapati Kedah ketinggalan kira-kira 15 tahun dari segi keperluan infrastruktur air semasa.
“Kita cuba kejar ketinggalan 15 tahun itu, tetapi keperluan terus bergerak ke hadapan. Sebab itu, justifikasi dan penjelasan yang benar mesti diberi supaya rakyat tidak marah dan dapat hadapi masalah ini bersama-sama kerajaan,” ujarnya.
Tambah beliau, naratif lain yang digembar-gemburkan kononnya projek-projek LRA di negeri itu merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk Kerajaan Persekutuan.
“Bila isu-isu seperti ini menjadi alat politik, ditempekkan masalah ini kepada orang-orang tertentu supaya ia adalah lambang kegagalan, maka rakyat tak dapat naratif yang betul.
“Projek ini mula masuk tapak 2021, kawan itu tak mari pusing Kulim lagi. Dia sebar kata projek ini PMX (Anwar) yang beri. Masa itu PMX tak jadi PM lagi. Saya mahu betulkan naratif itu.
“Pilihan raya umum November 2022, ada yang kata semua projek LRA ini diberikan oleh Perdana Menteri ketika ini. Saya pun hairan, bila masa dia jadi Perdana Menteri? Ini fakta, bukan cerita politik,” katanya.
Mengulas mengenai kelewatan projek, beliau jelaskan, perkara itu bukan berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri, sebaliknya disebabkan faktor luar seperti kenaikan harga bahan binaan dan kekangan bekalan.
“Kelewatan projek yang diberi lanjutan masa (EOT) sering disalahkan kepada Kerajaan Negeri, itu tidak betul. Harga bahan meningkat, permintaan tinggi dan bekalan berkurang menyebabkan kontraktor berdepan kesukaran. Itu justifikasi sebenar yang perlu diberitahu,” katanya.
Tambah beliau, pemberian EOT bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia merupakan amalan dalam sistem pelaksanaan projek di negara ini dan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal, bukan secara individu.
“Ada satu negeri dimaklumkan, semua projek di negeri itu berjalan dalam EOT. Tak ada satu projek ‘on time’. Kedah ada juga, jadi EOT bukan satu masalah kerana itulah sistem yang terpakai di negara ini.
“Semua perjalanan projek direkodkan, dari situlah kita belajar apa masalah dihadapi setiap pihak. Akhirnya, semua siap dan selesailah semua masalah dan disalurkan bekalan air. Orang akan dapat kebenaran di hujung jalan. Janganlah di tengah-tengah jalan, disimpang-siurkan supaya orang keliru,” ujarnya.
Sanusi turut tegaskan, pemilihan kontraktor projek tidak dibuat secara peribadi, sebaliknya melalui proses tender yang telus.
“Bukan saya pilih kontraktor. Ada jawatankuasa tender dan sistem yang menentukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak agar berlaku adil dalam menilai sesuatu projek dengan mengiktiraf sumbangan pemimpin terdahulu.
“Kita kena ucap terima kasih kepada pemimpin sebelum ini yang telah jalankan tanggungjawab mereka. Jangan putuskan kesinambungan itu.
“Yang baik kita sebut baik, yang kurang kita baiki. Itu cara pentadbiran yang betul,” katanya.
Beliau berharap projek LRA tersebut dapat memberi manfaat kepada rakyat serta menjadi bukti bahawa setiap cabaran yang dihadapi kerajaan negeri mempunyai penjelasan yang wajar dan berasaskan fakta.

Post a Comment