Header Ads

test

PARAS EMPANGAN SUSUT, KEDAH PERTIMBANG PEMBENIHAN AWAN



Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keadaan cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini agak membimbangkan apabila paras air di beberapa empangan utama negeri ini menunjukkan penyusutan ketara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, situasi berkenaan dijangka berulang seperti tahun lalu sehingga memerlukan pelaksanaan pembenihan awan sebagai langkah intervensi.
“Untuk keadaan negeri ini memang agak membimbangkan. Tahun ini saya rasa kita akan ulang proses yang sama. Tahun lepas kita buat pembenihan awan melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Empangan Gubir.
“Alhamdulillah selepas itu hujan turun. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pun turut membantu, jadi ini antara inisiatif yang kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini, malam tadi.
Cuaca panas berterusan menyebabkan paras air di Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning, berada pada tahap membimbangkan, dengan ketika ini paras keseluruhan tiga empangan utama hanya sekitar 38 peratus.
Menurut Sanusi, walaupun paras air empangan semakin surut, keadaan air di sungai utama negeri ini masih berada pada tahap baik.
“Air di sungai-sungai kita masih penuh, antaranya Sungai Kedah di belakang Seri Mentaloon masih penuh. Cuma paras air di empangan semakin susut.
“Saya pergi ke Gubir tahun lepas, ketika itu hanya tinggal sungai sahaja, takungan sudah tiada. Saya rasa fenomena itu berulang lagi tahun ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi menghadapi situasi tersebut.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, keadaan musim menuai pada ketika ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan penggunaan air dalam sektor pertanian.
“Alhamdulillah sekarang musim menuai, bukan musim menabur. Jadi penggunaan air kurang. Malah keadaan petak sawah yang kering memudahkan kerja penuaian, mesin pun tidak tersangkut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, fenomena cuaca panas yang berlaku ketika ini sukar diramal dengan lima daerah, antaranya Padang Terap dan Sik direkodkan sebagai kawasan paling panas walaupun mempunyai litupan hutan.
“Antara daerah terpanas Padang Terap dan Sik. Kedua-dua kawasan ini berbukit dan berhutan, tetapi tetap panas. Kawasan yang kurang pokok pula tidak sepanas itu. Cuaca ini tidak menentu dan ditentukan oleh ALLAH SWT.
“Kita serahkan kepada ALLAH SWT beri pertolongan kepada kita. ALLAH SWT sediakan kita rezeki termasuk air. Kita harapkan yang terbaik,” katanya.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat 6 pagi Sabtu, lima daerah di Kedah iaitu Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena dan Kota Setar berada pada Tahap 2 (jingga) dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, enam daerah lain, iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu berada pada Tahap 1 (kuning) atau berjaga-jaga dengan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.
Sebelum ini, pada 26 Mac, semua masjid di seluruh Kedah melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ bagi memohon agar diturunkan hujan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Pelaksanaan solat sunat berkenaan bertujuan memohon agar diturunkan hujan serta mengurangkan kesan musim kemarau yang berlarutan.
Kredit foto : Muhd Fuad

Tiada ulasan