Header Ads

test

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI ‘HAPPENING’ CARA ORANG KEDAH - SANUSI

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Lebih 80,000 pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon malam tadi, menyaksikan sambutan luar biasa apabila orang ramai terus berada di lokasi sehingga hampir 11 malam.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran program itu akan diteruskan setiap tahun berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri ini.
“Insya-ALLAH kita akan buat lagi tahun depan. Program macam ini program negeri, kita akan buat selalu. Tiap-tiap tahun kita akan anjurkan.
“Saya lihat orang ramai masih berpusu-pusu lagi, nampaknya belum puas. Pada pukul 10.30 malam pun orang kata jangan habis lagi, tak mahu balik dan masih menikmati juadah, orang rindu program macam ini,” katanya dalam sidang media seusai Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, malam tadi.
Menurut beliau, suasana meriah jelas menunjukkan rakyat Kedah merindui program seumpama itu yang menjadi platform mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat.
“Walaupun peringkat Persekutuan tiada sambutan, kita di peringkat negeri tetap teruskan penganjuran untuk kita sama-sama raikan. Saya buat program ini untuk orang Kedah, dan mereka hadir memeriahkan. Terima kasih kerana hadir raikan bersama,” katanya.
Tambahnya, faktor cuaca panas tidak menjejaskan penganjuran apabila waktu majlis diubah dari petang hingga malam.
“Penganjuran tidak terkesan sangat, namun orang memang ramai, jadi kita buat dari petang sampai malam supaya tidak terlalu panas.
“Orang yang sediakan juadah pun hebat, penaja hebat. Orang yang hadir pun hebat, semua hebat. Nampak ‘happening’ di Kedah. Kita raikan cara orang Kedah, Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis khususnya Pengerusi Jawatankuasa Induk Rumah Terbuka Aidilfitri, Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Ghazali.
“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang ditugaskan untuk menyelia dan membantu majlis ini.
“Saya jadi tuan rumah sahaja, mereka yang bekerja bertungkus lumus. Termasuk penyedia bekalan elektrik, air dan pemasangan khemah. Ada yang sampai tidak beraya, peranan dan pengorbanan mereka sangat besar,” katanya.
Majlis yang berlangsung dari pukul 5 petang hingga 11 malam itu menyajikan sebanyak 46 jenis menu termasuk nasi daging, kambing barbeku, sate, ais kacang, bihun sup, nasi minyak serta lemang dan ketupat.
Kelainan tahun ini turut menyaksikan pengagihan kira-kira 10,000 biji limau mandarin serta penglibatan tujuh pempengaruh dengan menu masing-masing.
Selain itu, antara tarikan utama ialah perkhidmatan pengangkutan air menggunakan bot dari Muzium Negeri ke Seri Mentaloon dengan tempoh perjalanan kira-kira 10 minit serta ruang photobooth Kedah Tourism bertemakan ‘Perang Musuh Bisik’.
Pengunjung mula hadir seawal pukul 3 petang dan tidak berganjak walaupun majlis menghampiri penutup yang diserikan dengan pertunjukan bunga api.
Untuk rekod, tahun ini merupakan penganjuran kali keenam sejak Sanusi diberi amanah menerajui Kedah pada 17 Mei 2020.

Tiada ulasan