Header Ads

test

ADUN BELIA KEDAH PERKUKUH PENYERTAAN BELIA DALAM PENTADBIRAN NEGERI


Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kedah bakal lahirkan barisan kepimpinan belia negeri yang berkualiti menerusi penubuhan ADUN Belia Negeri Kedah (ABK), sekali gus menjadi ejen penerangan kepada Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din berkata, ABK diyakini mampu membentuk pemimpin belia yang berintegriti, matang serta berpengetahuan dalam dasar pembangunan negeri.
Menurutnya, inisiatif itu selari dengan aspirasi The Greater Kedah 2050 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di bawah Teras Keempat, iaitu Keseimbangan Modal Insan dan Bakat.
“Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini di dewan yang mulia ini, peranan dan pembangunan belia di negeri Kedah sentiasa diperkukuh melalui penubuhan sebuah badan khas yang mengurus hal ehwal belia negeri diwujudkan di atas nama Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambahnya, golongan belia sentiasa diberi peluang untuk bersama-sama membangunkan negeri, termasuk melalui pengembalian semula ADUN Belia Negeri Kedah.
Mengulas lanjut, beliau berkata ABK akan berfungsi sebagai platform rasmi latihan kepimpinan belia yang berstruktur, berdisiplin dan berimpak tinggi.
“Program ini akan melibatkan pelantikan seramai 72 Ahli Dewan Undangan Belia Negeri Kedah, merangkumi dua wakil bagi setiap DUN, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu mampu melahirkan pemimpin belia yang memahami hala tuju pembangunan negeri, sekali gus berperanan sebagai ejen penerangan dalam menjayakan dasar serta perancangan Kerajaan Negeri.
“ABK juga akan menjadi penghubung antara isu belia di peringkat DUN dengan perancangan Kerajaan Negeri, di samping membentuk budaya kepimpinan yang berintegriti, berdisiplin dan berorientasikan penyelesaian,” katanya.

Tiada ulasan