LANGKAWI BERPOTENSI JADI DESTINASI PELANCONGAN KESIHATAN BERTARAF ANTARABANGSA
Amal Nabila Abdul Khadi
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri melihat Pulau Langkawi berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, Langkawi mempunyai kelebihan tersendiri dengan gabungan kemudahan kesihatan moden serta tarikan alam semula jadi yang unik.
“Pelancongan kesihatan melibatkan gabungan rawatan perubatan dengan elemen rekreasi dan kesejahteraan.
"Langkawi memiliki semua elemen ini termasuk pantai, pulau, gunung serta persekitaran yang sesuai untuk pemulihan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, Malaysia sememangnya dikenali sebagai destinasi pelancongan kesihatan berikutan kemudahan hospital moden, kepakaran doktor serta kos rawatan yang kompetitif berbanding negara lain.
Tambah Mohd Salleh lagi, Kerajaan Negeri turut merancang untuk menggabungkan kemudahan kesihatan moden seperti hospital dan klinik pakar dengan tarikan alam semula jadi bagi memperkukuh sektor tersebut.
“Gabungan ini selari dengan trend global masa kini yang menekankan keseimbangan antara rawatan kesihatan dan kesejahteraan mental,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran pelancong ke Kedah diukur berdasarkan pelawat yang menginap dan juga yang singgah tanpa bermalam kerana kedua-duanya memberi sumbangan kepada ekonomi negeri.
“Tidak kira pelancong atau pelawat, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pelancongan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin pembangunan pelancongan kesihatan di Langkawi mampu menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kedah pada masa hadapan.

Post a Comment