THE GREATER KEDAH DIPANTAU SECARA BERFASA, LAPORAN SETIAP TIGA BULAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pelaksanaan agenda The Greater Kedah yang disasarkan sebagai pelan pembangunan jangka panjang sehingga 100 tahun dipantau secara berfasa dengan laporan kemajuan dikeluarkan setiap tiga bulan bagi memastikan visi tersebut dapat direalisasikan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pemantauan komprehensif itu dilaksanakan menerusi penubuhan The Greater Kedah Project Management Office di bawah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN).
Menurut beliau, penubuhan entiti khusus tersebut membolehkan setiap pencapaian dan pelaksanaan agenda berkenaan dipantau secara sistematik selain memastikan prestasi agensi terlibat sentiasa ditambah baik.
“Prestasi tahun pertama The Greater Kedah memberangsangkan, namun ia masih belum mencukupi dan banyak lagi perkara perlu dilaksanakan untuk kita terus bergerak ke hadapan.
“Kita yakin pendekatan menubuhkan pejabat khas ini mampu memastikan keseluruhan agenda dipantau secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azizan Hamzah (PAS-Bukit Selambau) berhubung langkah bagi memastikan perancangan The Greater Kedah dapat dicapai menjelang 2050, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Haim Hilman berkata, agenda tersebut merupakan pelan pembangunan jangka panjang melibatkan empat fasa, melibatkan fasa pertama sehingga 2050, iaitu 25 tahun dari tarikh ia dilancarkan.
“Diikuti fasa kedua sehingga 2075, dan fasa ketiga 2100 manakala fasa keempat sehingga 2125. It's a 100-year plan. Untuk fasa pertama pastinya banyak ruang-ruang yang perlu kita perkemaskan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada penambahbaikan pelbagai aspek termasuk memperkukuh sistem pemantauan pelaksanaan berdasarkan indikator prestasi utama (KPI) dan petunjuk prestasi (PI).
“Setiap aspek yang ditetapkan sebagai KPI dan PI digarap dengan teliti supaya dapat dipantau secara berterusan selain membolehkan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, agenda The Greater Kedah digerakkan berteraskan enam komponen utama, iaitu kemakmuran ekonomi, kecemerlangan infrastruktur, keterangkuman sosio-budaya, keseimbangan modal insan dan bakat, kompetensi pentadbiran serta kemampanan alam sekitar.
“Dari segi ekonomi, tumpuan diberikan kepada reformasi bagi memperkukuh kekuatan negeri, manakala aspek infrastruktur melibatkan penyelesaian isu asas untuk merancakkan pembangunan.
“Keterangkuman sosio-budaya menuntut perubahan mentaliti rakyat ke arah pemikiran kelas pertama, manakala pembangunan modal insan diperkasa menerusi inisiatif seperti Program Bakti Siswa Perdana dan 1,000 Young Professionals.
“Selain itu, kita menekankan tadbir urus baik dalam pentadbiran serta memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Post a Comment