ADUN LUNAS CADANG PERUNTUKAN KHAS DUN RINGANKAN BEBAN KOS SARA HIDUP RAKYAT
Amal Nabila
ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan peruntukan khas kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan program bantuan seperti jualan murah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup.
Katanya, suara rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
"Meskipun pembangunan dan kemajuan negeri terus dibincangkan, realiti di peringkat akar umbi menunjukkan ramai rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos harian.
“Harga barang semakin naik, kos kehidupan bertambah tetapi pendapatan rakyat kekal sama. Ini memberi tekanan besar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Khairul, faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup adalah kenaikan harga minyak yang memberi kesan langsung kepada harga barangan dan kos pengangkutan.
“Setiap kali harga minyak naik, rakyat akan terus terkesan. Kos untuk bekerja meningkat, harga barang dapur turut melonjak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata, sebaliknya mahukan peluang ekonomi dan kestabilan untuk meningkatkan taraf hidup.
“Rakyat mahu peluang untuk memperbaiki kehidupan, bukan sekadar bergantung kepada bantuan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu kos sara hidup demi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin.

Post a Comment