BUDAYA MEMBACA MEMBENTUK GENERASI BERILMU, BERADAB
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Budaya membaca perlu dijadikan asas utama dalam membentuk generasi berilmu, beradab dan berjiwa besar, selaras dengan usaha melahirkan masyarakat seimbang dari segi intelektual serta nilai kemanusiaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata, pembacaan bukan sekadar aktiviti harian, sebaliknya proses penting dalam membina jiwa dan pemikiran manusia.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin sarat dengan maklumat tetapi kurang kebijaksanaan, masyarakat khususnya golongan muda berdepan cabaran besar termasuk kemerosotan adab berbahasa serta peningkatan isu kesihatan mental.
“Laporan menunjukkan masalah kesihatan mental kalangan remaja dan kanak-kanak meningkat dua kali ganda. Ini memberi isyarat jelas bahawa kita perlu kembali kepada asas, antaranya melalui pengukuhan budaya membaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Kedah serta program Jom Baca Bersama 10 Minit, sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia peringkat negeri Kedah di perkarangan Kompleks City Plaza, di sini, hari ini.
Halimaton Shaadiah
berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong pelbagai inisiatif yang memartabatkan budaya ilmu, sastera dan seni demi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang serta berakhlak tinggi.
Tambah beliau, penganjuran dua program serentak itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Festival ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan menyemai jiwa bangsa yang menghimpunkan elemen ilmu, seni dan nilai kemanusiaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembinaan sesebuah bangsa tidak boleh bergantung kepada kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh bahasa yang luhur, sastera yang membina jiwa serta seni yang memanusiakan manusia.
Beliau turut menyeru ibu bapa, pendidik dan penerbit agar memainkan peranan masing-masing dalam memastikan anak-anak tidak hanyut dengan pengaruh media sosial, sebaliknya dipandu dengan ilmu serta nilai melalui pembacaan dan karya berkualiti.
“Bangsa yang membaca ialah bangsa yang berfikir, dan bangsa yang berfikir tidak mudah dipengaruhi. Inilah asas kepada pembentukan masyarakat yang berdaulat serta bermaruah,” katanya.

Post a Comment