KEDAH PERLUAS AKSES PENDIDIKAN, TUISYEN PERCUMA SELURUH DUN
Nur Akasyah Sabri
SIK – Kerajaan Negeri Kedah terus memperluaskan akses pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan Tabung Tunku Mahmud dan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai anak Kedah mendapat peluang pendidikan berkualiti sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Menurut beliau, Tabung Tunku Mahmud akan terus diperkasakan agar tajaan kepada pelajar dapat disalurkan secara berterusan demi masa depan yang lebih baik.
“Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan kerana ia adalah kunci kepada kejayaan, sekali gus menjadi benteng kepada gejala negatif yang semakin membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah dan Pelancaran Tuisyen Rakyat Sejahtera 2026 di Dewan Al Hana, di sini.
Sanusi berkata, Tabung Tunku Mahmud yang diperkenalkan pada 2009 kini diteruskan semula bagi memperluaskan pelaksanaan pelbagai program pendidikan di negeri ini.
Katanya, ketelusan pengurusan tabung tersebut berjaya menarik sumbangan termasuk RM500,000 daripada seorang penderma dari Kuala Lumpur.
"Sebelum ini, tabung ini turut menerima sumbangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat kerajaan serta tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai penyumbang utama," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera 2026 kini dilaksanakan di semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
“Program ini pada awalnya dimulakan di DUN terpilih terlebih dahulu, namun kini telah diperluas dan boleh dilaksanakan secara percuma untuk anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.
Tambah beliau, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan akses pendidikan lebih menyeluruh, sekali gus memperkasa generasi masa depan Kedah.

Post a Comment