Header Ads

test

CADANG GUBAL AKTA KHUSUS BENDUNG PERBUATAN MENGHINA AGAMA


 Amal Nabila

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan disaran menggubal undang-undang khusus bagi membendung perbuatan menghina agama di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ustaz Sharir Long mencadangkan agar satu akta khusus diwujudkan dengan hukuman tegas seperti denda dan penjara bagi memastikan isu penghinaan agama dapat ditangani secara lebih berkesan.
Menurut beliau, sekiranya prinsip-prinsip agama Islam diamalkan secara menyeluruh, perpaduan kalangan rakyat Malaysia akan terus kukuh dan harmoni.
“Keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk melalui sikap saling hormat-menghormati dan memahami sensitiviti antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul titah menjunjung kasih Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Ustaz Sharir menegaskan, panduan untuk memastikan perpaduan masyarakat sebenarnya telah digariskan dalam al-Quran, namun masih belum diamalkan secara menyeluruh.
Menurutnya, antara prinsip utama yang perlu dipegang ialah menerima kepelbagaian agama dan bangsa sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran.
“Perkara pertama ialah kita perlu menerima kepelbagaian agama dan kaum sebagai satu ketetapan. Kemuliaan seseorang bukan terletak pada bangsa, tetapi pada ketakwaan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip kedua ialah keadilan tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.
“Islam menuntut supaya berlaku adil kepada semua, malah kita dilarang menzalimi sesiapa walaupun berbeza agama. Keadilan itu hampir kepada takwa,” jelasnya.
Tambah Ustaz Sharir, konsep tiada paksaan dalam agama juga perlu difahami dan diamalkan bagi memastikan keharmonian terus terpelihara dalam masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua pihak tidak menghina atau mencerca agama lain kerana tindakan tersebut boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat perpaduan.
“Al-Quran melarang kita menghina sembahan agama lain kerana dikhuatiri mereka akan membalas dengan menghina agama Islam,” katanya.

Tiada ulasan