OPERASI PENGUATKUASAAN PPR DIPERGIAT, KUTIPAN SEWA MENINGKAT
Amal Nabila
ALOR SETAR – Bahagian Perumahan Negeri Kedah giat melaksanakan operasi pemurnian penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan pematuhan terhadap syarat sewaan yang telah ditetapkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penghuni yang gagal mematuhi peraturan seperti tidak membayar sewa atau menyewakan unit kepada pihak ketiga tanpa kebenaran.
“Bagi kes tunggakan sewa, akan diberi notis tuntutan tunggakan, notis siasatan, notis pelanggaran syarat perjanjian dan notis penamatan perjanjian serta tindakan ‘tarik balik’ rumah turut dikenakan kepada penghuni ini.
“Selain itu, jika terdapat rumah yang didiami penghuni tidak sah, Bahagian Perumahan akan menjalankan siasatan dan sekiranya mereka memenuhi syarat kelayakan, akan dipertimbangkan untuk mendiami unit tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Amar Pared Mahamud (BERSATU - Kuah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambah Mansor, tempoh sewaan adalah selama 36 bulan dengan pemantauan berkala oleh Bahagian Perumahan bagi memastikan penghuni sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Perjanjian sewa akan diperbaharui selepas tamat tempoh tersebut. Jika pemilik meninggal dunia untuk skim sewa beli, Bahagian Perumahan akan memberi ruang kepada waris untuk tinggal di rumah tersebut. Proses untuk menentukan waris ini akan dijalankan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG),” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan operasi pemurnian unit rumah telah dilaksanakan di PPR Paya Nahu 1 dan PPR Paya Nahu 2.
“Bermula Jun hingga Oktober 2025, sebanyak lapan siri program telah dijalankan melibatkan pelbagai agensi.
"Hasilnya, kutipan sewa meningkat kepada RM832,721 bagi tempoh Jun hingga Disember 2025 berbanding RM216,874 bagi tempoh Januari hingga Mei 2025,” katanya.

Post a Comment