Header Ads

test

KOTA SIPUTEH WAJAR DIJADIKAN ALTERNATIF ‘SILVER TOWN’, ELAK TUMPU HANYA DI LANGKAWI


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Cadangan pembangunan projek berkonsepkan ‘Silver Town’ seperti pelancongan kesihatan wajar diperluaskan ke tanah besar, antaranya Kota Siputeh yang berpotensi besar sebagai lokasi utama atau sekurang-kurangnya nod percambahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, projek berimpak tinggi itu tidak seharusnya tertumpu di Langkawi semata-mata kerana negeri ini memerlukan agihan pembangunan lebih seimbang.
Menurutnya, sekiranya projek tersebut tetap diteruskan di pulau peranginan itu, Kerajaan Negeri perlu mengumumkan Kota Siputeh sebagai lokasi alternatif bagi memastikan manfaat ekonomi turut dirasai di tanah besar.
“Kota Siputeh lebih memerlukan, lebih sesuai dan lebih adil untuk masa depan pembangunan Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul titah menjunjung kasih Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan hartanah atau produk pelancongan, sebaliknya merupakan pemangkin kepada ekonomi baharu berasaskan pertambahan warga emas atau “ekonomi perak”.
“Ekonomi ini merangkumi keperluan perumahan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan, mobiliti serta gaya hidup yang lebih tenang bagi golongan warga emas,” jelasnya.
Cadangan perkampungan persaraan berinspirasikan Islam dikenali sebagai Aman Seterra Sanctuary diumumkan di Kuala Temoyong, Langkawi pada 8 Ogos 2024 melalui kerjasama Bina Darulaman Berhad (BDB) dan rakan strategik.
Perjanjian usaha sama dimuktamadkan pada 17 April 2025 dengan projek itu dirancang meliputi kawasan kira-kira lima hektar, menyediakan 780 unit kediaman bersama pelbagai kemudahan seperti pusat penjagaan ambulatori, klinik memori, program rehabilitasi, gimnasium, studio yoga, perpustakaan dan hab digital.
Pembinaan dijangka bermula pada tahun ini dengan sasaran penghunian awal pada 2028, namun setakat 29 Mei 2025 projek tersebut masih di peringkat awal mendapatkan Kebenaran Merancang (KM).
Sehubungan itu, Mohd Ashraf berpandangan tumpuan berterusan kepada Langkawi hanya akan mengukuhkan pemusatan pelaburan di kawasan yang sedia maju, sekali gus melebarkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Mengapa agenda sosial dan ekonomi sebesar ini perlu tertumpu di Langkawi sahaja sedangkan tanah besar Kedah mempunyai kawasan lebih memerlukan suntikan pembangunan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kota Siputeh mempunyai asas kukuh untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi perak termasuk kedudukannya di tanah besar yang memudahkan akses kepada keluarga, perkhidmatan kesihatan dan rantaian sokongan harian.
“Kota Siputeh memerlukan suntikan pembangunan berasaskan perkhidmatan supaya penduduk tidak hanya bergantung kepada sektor seperti padi, getah dan perikanan,” katanya.
Tambah beliau, tanpa pembangunan baharu, golongan muda akan terus berhijrah kerana tidak melihat peluang ekonomi moden di kampung halaman.
Dalam pada itu, beliau tegaskan, faktor pemilihan komuniti persaraan di peringkat global bukan hanya bergantung kepada pemandangan menarik, tetapi turut melibatkan kos hidup, akses penjagaan, keselamatan dan hubungan sosial.
“Kota Siputeh lebih menepati konsep ‘slow living’ dengan suasana kampung, sawah, masjid serta institusi pondok yang mampu menawarkan kehidupan persaraan lebih seimbang dan berteraskan komuniti,” katanya.
Menurutnya, kawasan seperti Tok Mengkula, Bukit Hantu dan Megat Dewa berpotensi untuk dibangunkan sebagai model perkampungan persaraan berinspirasikan Islam.
“Ini yang membezakan Kota Siputeh. Ia bukan sekadar menawarkan persaraan eksklusif, tetapi kehidupan yang berhubung dengan masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Tiada ulasan