HARGA BARANGAN DIPANTAU, ELAK KENAIKAN SESUKA HATI
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah melaksanakan pelbagai tindakan proaktif dalam memantau harga barangan serta memastikan peniaga mematuhi undang-undang, bagi melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 April, KPDN Kedah telah menjalankan 31,679 pemeriksaan premis (KPP) di seluruh negeri melibatkan semua cawangan utama seperti Alor Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani, Baling, Kulim dan Langkawi.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 460 tindakan telah diambil melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan perdagangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Antara cawangan yang mencatatkan tindakan kes tertinggi ialah Alor Setar dengan 232 kes, diikuti Langkawi (54 kes) dan Sungai Petani (50 kes).
"Ini membuktikan penguatkuasaan dijalankan secara tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.
Jelas Muhammad Radhi, tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN Kedah membuktikan kerjasama dan komitmen tinggi dalam memastikan pemantauan dilakukan secara menyeluruh dan berterusan di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“KPDN Kedah turut melaksanakan operasi rampasan (Ops 555) dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1,513,363. Nilai rampasan tertinggi direkodkan di Kubang Pasu sebanyak RM932,018, menunjukkan keberkesanan operasi dalam mengesan dan mengambil tindakan terhadap barangan yang melanggar peraturan," katanya.
Tambah beliau lagi, kerjasama KPDN Kedah dalam memantau harga barangan di pasaran awam jelas dapat dilihat melalui jumlah pemeriksaan yang tinggi, tindakan kes yang diambil serta nilai rampasan dan kompaun.
“Usaha ini penting bagi memastikan kestabilan harga, melindungi hak pengguna, dan mengelakkan peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati.
“Ia juga mencerminkan kecekapan dan kesungguhan KPDN Kedah dalam menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Post a Comment