Header Ads

test

PESAWAH TERTEKAN, KERAJAAN PERSEKUTUAN DIGESA KEMUKA PERANCANGAN MENYELURUH

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mengemukakan perancangan menyeluruh termasuk penstrukturan semula dasar serta suntikan dana bagi memastikan sektor padi negara kekal mampan serta tidak terus bergantung kepada import beras bagi memenuhi keperluan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, Kedah sebagai jelapang padi negara memerlukan perhatian khusus kerana memainkan peranan penting dalam menjamin sekuriti makanan.
“Mohon Kerajaan Persekutuan jangan sayang nak lempar duit ke Kedah sebab Kedah hasilkan padi terbanyak dalam negara.
“Kami nak tanam padi, bukan joli. Jangan takut ketirisan sebab kami amanah. Jangan sayang lempar duit ke sini (Kedah), tengok nanti macam mana kami buat bendang dan urus sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Dzowahir, negara masih mengimport lebih 50 peratus keperluan beras negara, sedangkan negara ini berupaya menghasilkan sendiri jika diurus dengan baik.
“Dengan keluasan sawah padi sedia ada, jika diurus secara efisien, sebenarnya kita tidak perlu mengimport walau sebiji pun beras. Persoalannya, di mana silapnya dan siapa bertanggungjawab, perkara ini perlu diperhalusi,” katanya.
Menurutnya, pesawah di negeri ini bukan tidak berusaha, sebaliknya kekangan kos, dasar dan kekurangan sokongan menyebabkan mereka semakin tertekan, malah ada yang mula meninggalkan sektor tersebut.
“Di Langkawi sahaja, lebih 1,000 pesawah dilaporkan tidak lagi mahu mengusahakan sawah kerana kos semakin meningkat, khususnya selepas kenaikan harga diesel.
“Kerajaan perlu lakukan sesuatu, jika tahap kita masih sama, jenuh jika berlaku krisis makanan,” katanya.
Dzowahir berkata, kos pengeluaran padi kini mencecah kira-kira RM1,500 bagi setiap tan metrik, namun harga belian kilang berada pada kadar sama, sekali gus menyebabkan pesawah tidak memperoleh keuntungan.
“Mereka berjemur bawah panas, menunggu lebih empat bulan untuk hasil, itu pun jika tidak diserang penyakit atau perosak. Pesawah minta bantuan insentif dari Kerajaan Persekutuan untuk ‘survive’ supaya tak rugi, bukan nak beli kereta Mercedez,” ujarnya.
Beliau menegaskan isu benih padi berkualiti turut menjadi rungutan utama pesawah apabila pilihan terlalu terhad.
“Hanya empat kilang dibenarkan menerima subsidi benih padi sah di Kedah dan Perlis, sedangkan terdapat kira-kira 80,000 pesawah di Kedah. Mereka tiada pilihan, sedangkan benih berkualiti adalah asas kepada hasil yang baik.
“Dulu kita lebih hebat dari Thailand dan Indonesia. Sekarang Indonesia hasilkan varieti benih padi dengan hasil 15 tan satu hektar, kita nak dapat enam tan pun payah,” katanya.
Tambah Dzowahir, Kerajaan Negeri kini bekerjasama dengan beberapa universiti dan agensi berkaitan bagi menghasilkan benih padi berkualiti tinggi, namun proses kelulusan varieti baharu mengambil masa sehingga enam tahun.
“Musim pertama ujian benih terbabit menghasilkan 5.7 tan dan musim kedua 7.7 tan, namun benih ujian ini tak boleh guna lagi perlu kelulusan Mardi dan laksana 13 musim. Untuk perbandingan, negara kita umum varieti baharu hanya satu berbanding Thailand 30 varieti baharu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan stok simpanan padi negara yang jelas dan menegaskan kebergantungan kepada pengilang semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang.
Sehubungan itu, Dzowahir merayu Kerajaan Persekutuan meneliti semula keseluruhan rantaian industri padi termasuk harga lantai padi, subsidi, bekalan diesel serta bantuan kepada pesawah.
“Ada cadangan supaya harga padi dinaikkan sehingga RM3,000, apa salahnya jika ini mampu memberi pulangan setimpal kepada pesawah. Mereka bukan minta untuk hidup mewah, tetapi sekadar tidak rugi,” katanya.
Tambah beliau, akses kepada diesel bersubsidi juga perlu diselesaikan segera apabila banyak jentera pertanian tidak menerima kemudahan kad fleet selain kekurangan stesen minyak berdaftar.
“Pesawah hanya mahukan kelangsungan hidup. Bantuan yang ada ketika ini masih belum mencukupi. Jika tiada perancangan menyeluruh, kita bimbang krisis makanan akan memberi kesan lebih besar pada masa hadapan,” katanya.


Tiada ulasan