Header Ads

test

KEDAH TEGAS TANGANI PENCEROBOHAN TANAH, TINDAKAN BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG


Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR– Kerajaan Negeri tegas dalam menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat secara tidak sah, dengan pendekatan berlandaskan undang-undang serta menjaga keharmonian masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, Kerajaan Negeri bersetuju sepenuhnya bahawa isu pencerobohan tanah bukan sekadar menyentuh sensitiviti, malah merupakan pelanggaran undang-undang yang perlu ditangani secara menyeluruh dan tegas.
Tambahnya, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing, namun kebebasan tersebut perlu dilaksanakan dalam kerangka perundangan bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
“Setiap pembinaan termasuk rumah ibadat mesti mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak boleh dibina tanpa kelulusan sah.
“PBT bertindak berdasarkan peruntukan jelas di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, yang menetapkan setiap pembinaan termasuk rumah ibadat wajib mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) serta kelulusan pelan bangunan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Jelas Mansor, penilaian terperinci terhadap status tanah akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi menentukan hak milik serta kesahihan tapak sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Bagi memperkukuh pengurusan isu ini, Kerajaan Negeri menetapkan beberapa parameter utama termasuk penilaian status tanah, mekanisme rundingan teknikal, pemantauan proaktif di peringkat awal pembinaan serta tindakan perobohan hanya sebagai langkah terakhir.
“Tindakan perobohan bukan pendekatan utama, sebaliknya hanya dilaksanakan selepas semua rundingan dan prosedur undang-undang tidak dipatuhi,” katanya.

Tiada ulasan