Header Ads

test

IBU TERLANTAR, DUA ANAK ISTIMEWA PERLUKAN PERHATIAN

Ku Azizah Ku Hamid
YAN - Ujian berat menimpa sebuah keluarga apabila seorang ibu, Norhasima Hashim, kini hanya mampu terlantar menahan kesakitan akibat ketumbuhan di bawah lidah.
Keadaan dirinya itu menyebabkan Hasima tidak mampu menguruskan dua anak istimewa yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Dalam serba kekurangan dan keperitan, wanita itu terpaksa kembali ke kampung halaman, menumpang kasih ibu bapanya yang sudah lanjut usia bagi membantu menguruskan anak-anaknya.
Nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang turun padang menziarahi mereka di Kampung Dato’ Lah, dekat sini bagi menyelami sendiri keperitan hidup yang ditanggung.
Menurut Mohd Azam, walaupun anak-anak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), beban kehidupan yang ditanggung keluarga itu masih besar dan memerlukan perhatian serta sokongan pelbagai pihak.
“Lebih memilukan, rumah yang menjadi tempat berteduh itu bukan sahaja dihuni mereka sekeluarga, malah turut menempatkan beberapa ahli keluarga lain termasuk seorang anak saudara orang kurang upaya (OKU), menjadikan beban ditanggung semakin menghimpit dari hari ke hari,” katanya.
Di sebalik dugaan bertimpa-timpa itu, suami Hasima tetap cekal mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan, walaupun pendapatan yang diperoleh sekadar cukup untuk menampung keperluan asas.
“Ini bukan sekadar kisah sebuah keluarga, tetapi cerminan realiti masyarakat yang memerlukan keprihatinan kita semua. Bantuan sedia ada masih belum mampu meringankan sepenuhnya beban yang mereka tanggung,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar tidak menutup mata terhadap nasib golongan memerlukan, sebaliknya tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan keluarga seperti ini tidak terus terpinggir dalam arus kehidupan.

Tiada ulasan