PELANCARAN COSMX PERKUKUH KEDAH SEBAGAI HAB INDUSTRI BERTEKNOLOGI TINGGI
Ku Azizah Ku Hamid
KULIM - Kedah terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi apabila projek mega Syarikat COSMX Technology Malaysia Sdn. Bhd. bernilai RM1.66 bilion berjaya direalisasikan di Kulim,
sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting pembangunan industri negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pelaburan berskala besar itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkukuh ekosistem industri berimpak tinggi.
Menurut beliau, projek berkenaan siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 15 bulan melibatkan fasa pembinaan, pemasangan peralatan dan ujian sistem sebelum mula beroperasi pada April.
“Lebih bermakna, saya mewakili Kerajaan Negeri Kedah, diberikan penghormatan untuk menyempurnakan majlis pecah tanah pada 21 Januari 2025 yang menjadi titik permulaan kepada projek berimpak tinggi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan COSMX Technology Malaysia Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Haim Hilman berkata, kilang berkenaan memberi tumpuan kepada pengeluaran bateri lithium-ion merangkumi segmen automotif seperti ‘start-stop battery’, selain berpotensi diperluas kepada sistem penyimpanan tenaga dan bateri pengguna untuk pasaran elektronik global.
Beliau berkata, pelaburan itu dijangka menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus mewujudkan ruang lebih luas kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya kalangan anak Kedah.
“Kehadiran COSMX turut membawa limpahan manfaat termasuk pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan serta pembangunan industri sokongan tempatan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedah terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM27.8 bilion pada tahun 2025, meletakkan negeri itu di tangga kelima negara serta tempat pertama dalam sektor pembuatan dengan nilai RM24.6 bilion.
Menurut beliau, dalam tempoh lima tahun lalu, sektor pembuatan di Kedah telah menjana lebih 50,915 peluang pekerjaan, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap pelaburan memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Dengan sokongan pelbagai agensi termasuk Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Invest Kedah Berhad, Kulim Technology Park Corporation, PBT Hi-Tech, MPKK serta agensi teknikal lain, Kedah diyakini mampu terus melonjak sebagai hab industri berteknologi tinggi di rantau ini,” katanya.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#ADUNJitra

Post a Comment