INISIATIF MPSPK KE ARAH BANDAR SELAMAT, SELESA, BERKUALITI
Nur Akasyah Sabri
SUNGAI PETANI – Penyelenggaraan berterusan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) memberi impak positif kepada kualiti hidup penduduk serta persekitaran bandar.
Menurut kenyataan dikeluarkan MPSPK, pelbagai kerja pembaikan dan naik taraf infrastruktur awam dilaksanakan secara proaktif bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
Inisiatif tersebut merangkumi sistem pencahayaan, kemudahan awam serta penyelenggaraan peralatan.
"Antara tumpuan utama ialah pembaikan dan pemasangan sistem elektrik di Taman Seri Cendana, termasuk penggantian kabel yang hilang akibat kecurian, pembaikan kabel rosak serta lampu jalan yang tidak berfungsi," kata kenyataan itu.
Selain itu, pembaikan lampu jalan turut dilaksanakan di beberapa lokasi melibatkan pelbagai jenis kerosakan.
"Di kawasan rekreasi Bandar Seri Cendana, pemasangan lampu solar baharu dijalankan bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan pengguna, khususnya pada waktu malam," katanya.
MPSPK turut memaklumkan, dalam usaha memastikan persekitaran bandar kekal terurus, kerja-kerja mengecat planter box di hadapan Wisma Bandaran serta membaiki paip air rosak di Taman Kampung Baru turut dilakukan.
Pada masa sama, kerja penurapan jalan dan pembinaan bonggol di Taman Sejati Indah dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
"Penyelenggaraan kemudahan awam seperti gerai, khemah, sistem penghawa dingin dan lif turut diberi perhatian bagi memastikan kelancaran penggunaan serta keselesaan orang ramai," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, secara keseluruhan, inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen tinggi MPSPK dalam menyediakan persekitaran bandar yang selamat, selesa dan berkualiti, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta pembangunan bandar yang mampan.

Post a Comment