Header Ads

test

INISIATIF E10 PACU KEDAH SEBAGAI DESTINASI PELABURAN PANTAS


Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Inisiatif Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kedah menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan proses pelaburan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pilihan pelabur.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, menerusi inisiatif tersebut, keseluruhan proses bermula daripada kelulusan perancangan hingga pengeluaran produk pertama untuk eksport mampu diselesaikan dalam tempoh sekitar 10 bulan, dengan rekod terpantas hanya lapan bulan.
“Pendekatan ini dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama erat antara agensi negeri dan Persekutuan, termasuk melalui penubuhan Kedah One Investment Team bagi memastikan kelancaran setiap urusan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khairul Anuar Ramli (BERSATU – Lunas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, bagi tahun 2025, Kedah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27.8 bilion, manakala keseluruhan pelaburan dalam tempoh lima tahun mencecah kira-kira RM190 bilion.
“Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Kedah sebagai antara negeri utama dalam sektor pembuatan di Malaysia, selain mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong aspirasi pembangunan industri negara,” ujarnya.
Tambah beliau, Kedah terus memberi tumpuan kepada sektor industri berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peranti perubatan serta tenaga boleh diperbaharui.
“Kulim khususnya kini diiktiraf sebagai hab elektrik dan elektronik serta semikonduktor di peringkat nasional dan antarabangsa dengan kehadiran syarikat multinasional (MNC) terkemuka dunia.
“Selain itu, industri peranti perubatan dan tenaga boleh diperbaharui turut dikenal pasti sebagai sektor baharu berpotensi tinggi, termasuk usaha menjadikan Kedah sebagai hab industri bateri,” katanya.

Tiada ulasan