Header Ads

test

RONDAAN PENGUATKUASAAN DITINGKATKAN, BURU ‘TONTO LAUT’ ELAK PERAIRAN DICEROBOH


 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kekerapan rondaan penguatkuasaan maritim ditingkatkan secara intensif khususnya pada waktu malam dan awal pagi bagi mengekang aktiviti pencerobohan di perairan Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, langkah itu diambil berikutan penceroboh sering mengambil kesempatan melakukan aktiviti haram dalam keadaan gelap.
Menurutnya, bagi memastikan keberkesanan operasi, rondaan dilaksanakan secara rawak tanpa pola tetap agar pergerakan aset penguat kuasa tidak mudah dikesan ‘tonto laut’ yang sentiasa memantau operasi pihak berkuasa.
“Bukan darat sahaja ada tonto, di laut pun ada, dikenali sebagai tonto laut. Kita mohon rondaan lebih kerap dilakukan secara efisyen kerana pelbagai teknologi boleh diaplikasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (BERSATU-Kota Siputeh) mengenai kekerapan operasi maritim dan perikanan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Dzowahir, keutamaan rondaan tertumpu di zon A, iaitu kawasan kurang lima batu nautika dari pesisir pantai bagi melindungi hak nelayan tradisi/pantai serta mengelakkan pencerobohan bot komersial dari zon B, B1 dan C.
Katanya, isu pelanggaran sempadan zon oleh bot komersial yang menggajikan nelayan asing juga menjadi fokus utama melalui Jabatan Perikanan Malaysia.
“Ini kerana aktiviti itu turut menjejaskan sumber perikanan dan hasil tangkapan nelayan pantai,” katanya.
Menurut Dzowahir, perairan Kedah mempunyai rizab hasil perikanan antara terbesar di Semenanjung dengan nilai melebihi RM20 bilion termasuk di Kuala Kedah.
“Ini rezeki yang diberikan ALLAH SWT dan amanah ini perlu dipelihara demi kepentingan rakyat. Kita harap semua pihak amanah menjaga kelestarian sumber yang ada di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, selain Jabatan Perikanan, rondaan turut dilaksanakan oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara bersepadu bagi membanteras pencerobohan.
Dalam pada itu, semua bot pukat tunda zon B, B1 dan C diwajibkan memasang sistem Automatic Identifying System (AIS) atau Mobile Tracking Unit (MTU) bagi mengesan pergerakan bot yang memasuki zon larangan.
“Sekiranya dikesan menceroboh, pemilik bot akan diberi amaran dan peringatan bagi memastikan kesalahan tidak berulang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, aduan nelayan pesisir berhubung hasil tangkapan yang semakin berkurangan dan menegaskan usaha memperkukuh pemantauan termasuk penggunaan teknologi serta penambahan aset perlu terus dipertingkatkan.
Tambah beliau, kaedah melabuhkan tukun tiruan turut digunakan sebagai langkah alternatif menghalang kemasukan bot pukat tunda ke zon pantai.
“Sehingga kini, sebanyak 517 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Kedah bagi meningkatkan sumber perikanan serta menjadi penghalang kepada pencerobohan,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, APMM Kedah dan Perlis terus mempergiat operasi secara berterusan dengan penugasan aset 24 jam serta pemantauan radar di kawasan ‘hotspot’, bukan sahaja melibatkan isu perikanan malah merangkumi aktiviti penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tiada ulasan