Header Ads

test

LIPUTAN INTERNET KEDAH CAPAI 99.98 PERATUS


Amal Nabila Abdul Khadi
ALOR SETAR – Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Kedah kini mencapai tahap 99.98 peratus setakat 31 Januari 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, peratusan itu meningkat berbanding 93.56 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada 2020.
"Sehingga kini, sebanyak 213 menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi, 2,823 stesen pemancar dinaik taraf serta 259,037 premis telah mendapat capaian gentian optik di seluruh negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peluasan rangkaian 5G turut diberi keutamaan khususnya di kawasan pertumbuhan ekonomi, institusi pendidikan dan kawasan industri berpotensi.
"Sehingga 31 Januari 2026, Digital Nasional Berhad (DNB) telah membina 390 tapak pemancar 5G di Kedah dengan liputan 80.2 peratus di kawasan berpenduduk, manakala di DUN Bukit Pinang sebanyak 11 tapak pemancar telah dibina," jelas Mohd Azam.
Sementara itu, beliau memaklumkan, U Mobile Sdn Bhd telah menaik taraf 160 tapak pemancar kepada 5G di Kedah yang memberikan liputan 52.1 peratus di kawasan berpenduduk.
"Kerajaan turut memaklumkan peluasan liputan 5G akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan model dwi rangkaian 5G, bagi mencapai sasaran 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk, perindustrian dan luar bandar menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan aplikasi MCMC NEXUS yang boleh dimuat turun di telefon pintar bagi membantu pengguna mengenal pasti talian atau rangkaian yang paling sesuai di sesuatu kawasan.
"Lepas ni pegawai Pusat Khidmat bila dapat laporan line tak dak daripada pengadu boleh test sendiri line apa hat kuat dekat tempat dia.
"Orang kampung sendiri boleh test dengan download aplikasi ni. Semoga bermanfaat kepada semua," katanya lagi.

Tiada ulasan