Header Ads

test

INISIATIF SEJAHTERACARE PERKASA WANITA KEDAH


Amal Nabila Abdul Khadi
ALOR SETAR – Program SejahteraCare berjaya melahirkan 150 usahawan wanita dalam bidang penjagaan kesihatan pada tahun 2025, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam memperkasa ekonomi wanita di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata, inisiatif yang dijenamakan semula daripada Tabung Sejahtera Wanita itu memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
“Mereka bukan sahaja menerima latihan kemahiran, malah turut didedahkan dengan kursus keusahawanan, pemasaran digital serta pengurusan kewangan bagi memastikan mereka mampu berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Halimaton Shaadiah berkata, program itu akan terus diperluaskan pada tahun 2026 dengan pelbagai inisiatif tambahan termasuk penubuhan Akademi Usahawan Wanita Kedah yang menawarkan latihan intensif selama tiga bulan.
Selain itu, katanya, peserta yang tamat latihan berpeluang menerima geran mikro antara RM3,000 hingga RM5,000 sebagai modal permulaan perniagaan.
“Setiap usahawan juga akan dibimbing oleh mentor selama enam bulan bagi memastikan perniagaan mereka berkembang secara mampan,” ujarnya.
Tambah beliau, program digitalisasi turut diperkenalkan bagi membantu usahawan wanita memanfaatkan platform dalam talian seperti TikTok Shop dan Shopee.
Dalam pada itu, Karnival Usahawan Wanita Kedah akan dianjurkan sebagai platform pemasaran produk serta membuka peluang jaringan perniagaan kepada peserta.
Menurutnya, sasaran program itu setiap tahun adalah melatih 200 wanita, mewujudkan 50 usahawan baharu serta membantu sekurang-kurangnya 20 perniagaan berkembang.
“Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri berharap dapat meningkatkan pendapatan keluarga khususnya dalam kalangan golongan B40 serta memastikan wanita terus berdaya saing dalam ekonomi semasa,” katanya.

Tiada ulasan