KEDAH PERUNTUK RM600,000 PERKUKUH PERPADUAN KAUM
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM600,000 menerusi Bajet Negeri sebagai langkah memperkukuh perpaduan antara kaum dalam mendepani cabaran semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen berkata, peruntukan tahunan itu merupakan pelan jangka panjang bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program yang memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Setakat pengetahuan saya, tidak semua negeri menyediakan peruntukan khusus seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Taufik Yaacob (BERSATU – Bayu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, peruntukan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada penganjuran program atau sambutan perayaan kebudayaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pembinaan nilai kebersamaan bagi mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
“Justeru, kita harus mengingati bahawa Kedah merupakan negeri yang terbuka dan mengamalkan semangat kebersamaan dalam memperkukuh perpaduan,” katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks, pelbagai program dan inisiatif telah serta akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh semangat muhibah rakyat.
Antaranya termasuk penganjuran rumah terbuka sempena perayaan utama, program kebudayaan dan aktiviti komuniti, gotong-royong berskala besar melalui inisiatif Experience Kedah serta program kesedaran dan pendidikan perpaduan khususnya kalangan belia dan pelajar.
“Kejayaan mengurus isu perpaduan tidak hanya terhad di peringkat negeri, sebaliknya turut dipacu kepimpinan proaktif serta sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Perpaduan.
“Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus komited memperkasa usaha ini agar semangat muhibah, toleransi dan perpaduan kalangan rakyat Kedah kekal kukuh dan terpelihara,” katanya.

Post a Comment