Header Ads

test

RM159.8 JUTA DIPERUNTUKKAN SELENGGARA JALAN, TINGKAT KESELAMATAN PENGGUNA

 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan lebih RM159.8 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri sehingga Mac 2026, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, daripada jumlah itu, RM118.08 juta disalurkan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan manakala RM41.72 juta bagi Jalan Negeri melibatkan pelbagai kerja fizikal.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM100,000 sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kegagalan cerun di kawasan berisiko.
“Usaha ini dilaksanakan melalui penanaman pokok Asoka dan buluh sebagai penampan estetik, selain pemasangan steel sheet pile serta guardrail oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri kini beralih kepada penggunaan lampu LED solar secara berfasa bagi menangani isu kecurian kabel yang kerap berlaku.
“Penggunaan lampu solar semakin meluas kerana ia lebih menjimatkan tenaga elektrik selain mengurangkan kos penyelenggaraan.
“Langkah ini juga mampu mengurangkan kes vandalisme,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Yusuf berkata, Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya mengurangkan kos penghantaran air secara signifikan.
Katanya, kebergantungan kepada lori tangki menurun hampir 75 peratus iaitu daripada RM16.2 juta pada 2024 kepada RM4.1 juta pada 2025.
“Bagaimanapun, penggunaan lori tangki masih dikekalkan sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya berlaku kecemasan bekalan air di kawasan terlibat,” katanya.

Tiada ulasan