Header Ads

test

JANGAN POLITIKKAN ISU AGAMA, PERPADUAN MESTI DIPERTAHANKAN


 Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah agar sebarang usaha mempolitikkan isu agama dihentikan serta-merta kerana boleh mencetuskan perpecahan kalangan masyarakat.

Baginda bertitah, tindakan segelintir pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ demi kepentingan sempit adalah tidak wajar dan perlu dibendung demi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.

“Beta dengan tegas melarang sebarang usaha mempolitikkan isu agama, termasuk cubaan pihak tertentu yang mengambil kesempatan demi kepentingan sempit sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah sempena Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah yang ke-15, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut menegaskan, institusi keagamaan tidak seharusnya disalahgunakan bagi kepentingan peribadi atau dijadikan wadah kepada agenda politik tertentu.

Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa berkaitan agar bertindak tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang.

“Beta memandang serius isu rumah ibadat bagi semua agama, yang dibina tanpa kelulusan sah, sama ada pencerobohan ke atas tanah kerajaan atau tanah persendirian. 

“Sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi,” titah baginda lagi.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan agar dalam merencana agenda pembangunan negeri hendaklah dilaksanakan berpandukan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Menurut baginda, perkara tersebut mempunyai kaitan langsung dengan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan negeri dan negara.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang agama dan kaum, keharmonian tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk melalui sikap saling hormat-menghormati serta memahami batas sensitiviti masing-masing,” titah baginda.

Tiada ulasan