KEMBALIKAN STATUS LANGKAWI SEBAGAI PULAU BEBAS CUKAI SEPENUHNYA - SULTAN KEDAH
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Baginda bertitah, meskipun status pulau bebas cukai masih dikekalkan, beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuk pelaksanaan cukai terhadap kenderaan, produk berasaskan tembakau serta barangan lain.
“Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan keistimewaan tersebut seperti sebelum ini bagi memastikan daya tarikan Langkawi terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah sempena Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah yang ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.
“Kembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya, dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati seperti sebelum ini,” titah baginda.
Sultan Kedah turut menekankan keperluan memperkukuhkan pembangunan infrastruktur di Langkawi yang kini berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menurut baginda, kekangan infrastruktur sokongan termasuk akses ke pulau serta kemudahan jeti yang efisien masih menjadi cabaran yang menjejaskan kelancaran dan kepesatan pembangunan pulau lagenda.
“Beta difahamkan kekerapan perkhidmatan feri ke Langkawi amat terhad. Justeru, Beta berharap pihak berwajib dapat meneliti dan menambah baik sistem pengangkutan tersebut,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar subsidi diesel kepada pengusaha feri sebagai antara langkah meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Kesan daripada isu berbangkit telah membawa kepada kemerosotan kemasukan pelancong, yang menjejaskan pendapatan pengusaha dan peniaga, serta menjejaskan perhubungan penduduk di Langkawi.
“Usaha ini penting bagi memastikan potensi sebenar Langkawi dapat direalisasikan sepenuhnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” titah baginda.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya di Langkawi bagi memperkukuh jenama pulau peranginan itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Beliau berkata, status bebas cukai merupakan identiti utama Langkawi sejak sekian lama dan menjadi tarikan pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut menegaskan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu berasaskan semangat federalisme yang adil dan saling melengkapi, bukannya dilihat secara terpisah.
Baginda bertitah, Kerajaan Negeri perlu diberi ruang lebih berkesan dalam menentukan hala tuju pembangunan mengikut keperluan tempatan, khususnya melibatkan hasil negeri.
“Kerajaan Negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 selepas genap tempoh 10 tahun sejak pewartaan terdahulu pada 2015.
“Perkara ini merupakan satu keperluan kepada kelestarian hasil negeri dalam memastikan kedudukan kewangan negeri terus mampan,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyokong pelaksanaan semakan hasil tanah tersebut sebagaimana dilaksanakan negeri-negeri lain demi kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

Post a Comment