Header Ads

test

JKM BANTU PENERIMA KELUAR DARI KEMISKINAN MENERUSI PROGRAM 2YEP


 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Pelaksanaan program 2 Years Exit Programme (2YEP) membantu penerima bantuan kewangan bulanan keluar daripada kepompong kemiskinan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan inisiatif itu bagi memperkasakan penerima bantuan dan ahli isi rumah supaya mampu berdikari serta meningkatkan pendapatan.
Menurutnya, program 2YEP telah dilaksanakan sejak 2016 di bawah projek pembangunan bukan fizikal menerusi peruntukan P48 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Program ini diteruskan sehingga tahun 2023 dan disambung semula pada 2025 dengan penekanan kepada pemerkasaan golongan penerima melalui pendekatan pengupayaan (empowerment),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhamad Amri Wahab (BERSATU - Derga) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Halimaton Shaadiah berkata, peserta program akan dipilih dan diberi latihan kemahiran keusahawanan sebagai persediaan untuk keluar daripada kemiskinan dalam tempoh dua tahun melalui transformasi minda serta peningkatan kemahiran.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu berasaskan konsep kebajikan produktif yang bertujuan meningkatkan kefungsian diri dalam aspek ekonomi.
“Ahli isi rumah penerima bantuan JKM akan dibekalkan kemahiran sehingga mampu menjana pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Mereka yang berjaya mencapai tahap tersebut dalam tempoh dua tahun akan digugurkan daripada senarai penerima bantuan,” katanya.

Tiada ulasan