TINGKATKAN HASIL PADI: PERLUAS KAWASAN MADA, TEROKA KAWASAN BAHARU, PERKENAL INSENTIF KHAS
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob menegaskan langkah berani perlu segera diambil bagi meningkatkan hasil padi.
Beliau berkata, antara tindakan utama ialah memperluaskan kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ke lokasi baharu yang berpotensi, susulan kawasan sedia ada semakin berkurangan akibat penukaran kepada aktiviti ekonomi lain.
“Kerajaan dan MADA perlu berani meneroka kawasan baharu bagi meningkatkan hasil serta menjamin pengeluaran padi secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut beliau, daerah seperti Sik, Baling dan Padang Terap masih mempunyai kawasan sawah terbiar serta tidak diusahakan, malah sebahagiannya ditukar kepada tanaman lain.
Katanya, keadaan itu merupakan kerugian besar kepada negeri dan negara dalam konteks keselamatan makanan kerana tanah yang sepatutnya menjadi sumber pengeluaran beras tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Agensi berkaitan perlu melihat potensi di luar jajahan sedia ada untuk menambah keluasan serta meningkatkan pengeluaran padi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian bagi mengelakkan krisis kekurangan pengusaha pada masa depan.
“Sektor ini tidak boleh lagi dilihat sebagai ketinggalan atau tidak menguntungkan. Langkah konkrit perlu diambil termasuk penyediaan infrastruktur moden, jaminan bekalan air konsisten serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos,” katanya.
Tambah beliau, insentif khas juga wajar diberikan kepada pemilik tanah yang mengekalkan tanaman padi dan tidak menukarnya kepada pembangunan lain, bagi mengelakkan kehilangan tanah sawah secara berperingkat.
“Jika tiada perlindungan seperti ini, kita akan terus kehilangan tanah sawah sedikit demi sedikit akibat tekanan pembnagunan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi moden oleh agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan MADA, termasuk data cuaca, sistem pengairan pintar serta pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah mampu menjadikan sektor pertanian lebih moden dan menarik minat generasi muda,” katanya.
Mengulas cabaran luar kawalan seperti musim kemarau, cuaca tidak menentu dan krisis global, beliau menegaskan, negara perlu bersedia untuk berdikari dengan memperkukuh sektor makanan asas demi menjamin kelangsungan bekalan beras negara.

Post a Comment