PENGGUBALAN DASAR SUKAN SATU IBADAH DI FASA AKHIR
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Proses penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah kini berada di fasa akhir dengan draf awal telah dibentangkan pada 5 Mac lalu oleh jawatankuasa yang dilantik.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din, dasar itu dirangka secara komprehensif melalui pelbagai sesi libat urus melibatkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Mufti Negeri Kedah, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan serta persatuan-persatuan sukan.
Katanya, dasar itu digubal berteraskan tiga elemen utama iaitu penggalakan, pengharmonian dan pemberdayaan.
“Elemen penggalakan memberi fokus kepada usaha menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam aktiviti sukan tanpa sebarang sekatan.
“Sementara, elemen pengharmonian menekankan pendekatan menyelaras tuntutan syarak dengan aktiviti sukan, di samping menangani persepsi negatif melalui pendidikan serta pendekatan yang lebih mendahului penyelesaian berbanding hukuman.
“Elemen ketiga pemberdayaan pula memberi penekanan kepada usaha memperkasa prestasi atlet berprestasi tinggi sebagai indikator penting serta pemacu kepada pembangunan industri sukan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Radzi Md Amin (PAS - Pedu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Muhammad Radhi berkata, dasar itu bersifat inklusif dan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak termasuk golongan bukan Islam dan sebarang kebimbangan yang dibangkitkan telah diambil kira dalam proses penggubalan.
Beliau tegaskan, Dasar Sukan Satu Ibadah bukan bertujuan menyekat, sebaliknya memperkukuh dan memperkasa aktiviti sukan di Kedah secara menyeluruh, melibatkan masyarakat umum serta atlet berprestasi tinggi.
“Dalam aspek pemakaian, atlet beragama Islam tertakluk kepada syarat menutup aurat mengikut ketetapan syarak, manakala bagi bukan Islam, garis panduan ditetapkan adalah lebih umum dan tidak bersifat paksaan.
“Selain itu, dasar ini turut menyentuh aspek keselamatan seperti larangan sentuhan fizikal antara jurulatih dan atlet berlainan jantina bagi umat Islam, yang secara tidak langsung selari dengan usaha mencegah gangguan seksual seperti yang digariskan dalam Kod Sukan Selamat,” ujar beliau lagi.

Post a Comment