KEDAH MOHON INFRASTRUKTUR SUKAN NEGERI DIPERTINGKAT
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan permohonan penyediaan kemudahan infrastruktur sukan di Kedah bagi melonjakkan prestasi atlet negeri ke tahap lebih tinggi.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keperluan itu penting khususnya bagi membangunkan fasiliti kritikal seperti velodrom dan padang olahraga lengkap bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, perkembangan sukan berbasikal dan olahraga di Kedah menunjukkan peningkatan memberangsangkan, namun masih berdepan kekangan dari segi kemudahan.
“Sebagai contoh, Kedah masih belum mempunyai velodrom khusus. Namun kekurangan ini tidak menghalang atlet negeri untuk terus mencipta kejayaan di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Bakat Olimpik Kebangsaan Siri 1 2026 di Dewan Besar Insaniah, Mergong.
Sanusi berkata, kerjasama strategik serta sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi memperkasa ekosistem sukan negeri secara lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Kemudahan infrastruktur sukan yang lengkap bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet sedia ada, malah menjadi pemangkin kepada pencarian bakat baharu serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan secara serius dan kompetitif,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha berkenaan wajar diberi perhatian sewajarnya selaras dengan komitmen tinggi ditunjukkan atlet, jurulatih dan pengurusan sukan negeri.
Tambah Sanusi, komitmen tersebut telah membuahkan kejayaan cemerlang sekali gus meletakkan Kedah dalam peta sukan negara.
“Kita yakin dengan sokongan semua pihak, impian untuk melihat lebih ramai atlet Kedah mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat lebih tinggi, akan menjadi kenyataan,” katanya.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#mbkedah

Post a Comment