KEDAH WAJAR TERIMA INSENTIF KEKAL JELAPANG PADI NEGARA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pengorbanan Kedah dalam mengekalkan kira-kira 119,000 hektar kawasan padi serta 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda wajar disusuli dengan insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, langkah itu penting bagi memastikan keterjaminan bekalan beras negara memandangkan Kedah kekal sebagai ‘jelapang padi negara’.
“Pengorbanan Kedah itu wajar disusuli dengan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan, sepertimana yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah sempena Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah yang ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Baginda turut menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi, selain menyarankan pelbagai inisiatif baharu diteroka bagi meningkatkan produktiviti.
“Beta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, yang telah menyalurkan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur bagi tujuan tersebut.
“Namun agensi pembangunan dan penyelidikan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi bermutu tinggi, penggunaan jentera dan teknologi moden, termasuk penggunaan Internet of Things (IoT), bagi meningkatkan produktiviti,” titah baginda.
Sultan Kedah juga menyarankan agar skim penanaman padi secara estet perlu diperkasakan bagi meningkatkan hasil dan menjamin pendapatan petani yang lebih mampan.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan cuaca panas ketika ini yang menyebabkan paras takungan empangan berada pada tahap kritikal.
Sehubungan itu, baginda menegaskan Kerajaan Negeri perlu bertindak lebih tegas dan proaktif dalam memelihara kawasan tadahan air termasuk membanteras aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air.
“Berhadapan dengan keadaan cuaca panas, di mana kadar takungan empangan berada pada paras kritikal, Kerajaan Negeri perlu lebih proaktif dan memelihara kawasan tadahan air.
“Kelangsungan sektor pertanian, perindustrian dan keperluan domestik amat bergantung kepada kestabilan sumber air, khususnya dari kawasan hutan tadahan,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Sallehuddin mengingatkan fenomena cuaca tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau memerlukan pengurusan sumber air yang mampan.
“Amalan pertanian lebih berdaya tahan serta pelan mitigasi risiko bencana secara lebih berkesan perlu dilaksanakan segera,” titah baginda.

Post a Comment