Header Ads

test

RAKYAT KEDAH PERLU SIAP SIAGA HADAPI KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL


Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR - Semua pihak diminta supaya bersiap siaga dalam mendepani ketidaktentuan kestabilan ekonomi negara dan negeri susulan konflik serta peperangan yang berlaku di Asia Barat dan Eropah Timur.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, pengurusan sumber negeri hendaklah dilaksanakan secara berhemah, cekap dan berstrategi bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak optimum.

“Seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan, beta menyeru agar Kerajaan Negeri sentiasa bertindak pantas dan proaktif dalam menilai serta menambah baik dasar dan peraturan sedia ada yang menyusahkan rakyat,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah sempena Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah yang ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Titah baginda, karenah birokrasi yang berlebihan, prosedur lapuk serta undang-undang yang tidak lagi relevan hanya akan menghalang kemajuan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.

“Beta menyeru agar tindakan semakan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat jabatan dan agensi bagi mempertingkatkan kecekapan, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta memacu produktiviti negeri ke tahap lebih tinggi di masa hadapan,” titah baginda.

Titah Sultan Kedah lagi, rakyat juga perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah berikutan perkembangan semasa di peringkat global yang pastinya akan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi.

“Amalan penjimatan juga perlu dijadikan keutamaan di semua peringkat jabatan dan agensi dengan menitikberatkan keperluan berbanding kehendak dalam setiap keputusan yang dibuat,” titah baginda.

Tiada ulasan