KEMBALIKAN LANGKAWI SEBAGAI PULAU BEBAS CUKAI SEPENUHNYA: KEDAH SEDIA BINCANG
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menggesa Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menilai semula dasar sedia ada dengan mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi wilayah utara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu penting bagi menghidupkan kembali Langkawi sebagai ikon pelancongan dan destinasi beli-belah antarabangsa yang pernah menyumbang besar kepada hasil pelancongan negara serta pulangan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Status Langkawi perlu dikembalikan seperti dahulu. Kita sedia bincang dan kemukakan pandangan bagi memastikan pulau ini kembali rancak dikunjungi ramai,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 1987 dengan tujuan merangsang sektor pelancongan serta membangunkan ekonomi wilayah utara. Namun, sejak 2016, beberapa dasar diperketatkan termasuk pengurangan keistimewaan bebas cukai terhadap barangan tertentu.
Antara perubahan, bermula 2026, kenderaan tidak lagi menikmati pengecualian cukai sepenuhnya, dengan hanya kereta bernilai RM300,000 ke bawah layak, manakala kereta mewah dikenakan cukai.
Selain itu, produk tembakau turut dikenakan kawalan lebih ketat dan tidak lagi bebas cukai sepenuhnya.
Beberapa keistimewaan lain dikurangkan melalui sekatan terhadap jenis barangan tertentu serta pelaksanaan semula cukai, sekali gus menyebabkan status bebas cukai Langkawi tidak lagi seperti dahulu.
Pada sidang media selepas itu, Sanusi yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memaklumkan, perkara itu pernah dibincangkan bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memohon kelonggaran terhadap peraturan tertentu, namun agensi berkenaan tertakluk kepada dasar MOF.
“LADA boleh diaktifkan semula dengan memberikan fungsi lebih besar, khususnya dalam merancakkan pembangunan sektor pelancongan di Langkawi, selain MOF meneliti semula peraturan sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan usaha pembangunan pulau peranginan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Perubahan itu menjejaskan daya tarikan pelancong ke Langkawi, sekali gus memberi kesan kepada pemain industri pelancongan dan peniaga tempatan.
“Rekod kehadiran pelancong pernah cecah tiga juta orang sebelum pandemik Covid-19, namun selepas itu berlaku penurunan sebelum kembali pulih secara perlahan sejak 2024,” katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya lebih banyak barangan dimasukkan dalam senarai bebas cukai selain menambah lesen premis perniagaan bebas cukai bagi menarik semula pelancong, khususnya domestik.
Katanya, sekatan terhadap pembelian dan membawa keluar barangan ke tanah besar juga perlu dilonggarkan kerana ia mengurangkan minat pelancong untuk berbelanja di Langkawi.
“Kalau pelancong beli barang tetapi tidak boleh dibawa pulang tanpa dikenakan cukai, lebih baik mereka beli di tanah besar. Ini menjejaskan tarikan utama Langkawi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar penjualan kereta dan motosikal mewah pada harga bebas cukai dibenarkan semula bagi merangsang perbelanjaan pelancong berpendapatan tinggi.
“Orang kaya ada duit untuk berbelanja, jika dibelanja, duit itu akan beri kesan limpahan kepada ekonomi tempatan termasuk peniaga kecil dan sektor perkhidmatan,” katanya.
Menurutnya, kebimbangan terhadap ketirisan boleh ditangani melalui penguatkuasaan lebih berkesan oleh agensi berkaitan.
Tambah Sanusi, kira-kira 90 peratus daripada 120,000 penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan, justeru pemulihan status bebas cukai sepenuhnya amat penting untuk kelangsungan ekonomi setempat.
Beliau turut mencadangkan subsidi lebih bersasar diberikan kepada pengusaha feri bagi memastikan operasi dapat diteruskan tanpa menanggung kerugian.
“Ada feri kos bahan api bagi perjalanan pergi dan balik cecah RM14,000, jauh lebih tinggi berbanding ke pulau lain seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.
“Tempoh perjalanan ke Langkawi antara sejam hingga satu setengah jam berbanding hanya lima minit ke Pangkor, menyebabkan kos operasi tidak sama,” katanya.
Mengulas cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung mengenakan surcaj bahan api kepada penumpang, Sanusi tidak bersetuju kerana ia akan menambah beban pelancong dan menjejaskan minat berkunjung ke Langkawi.
“Dianggarkan Kerajaan Persekutuan memperoleh RM4 hingga RM5 bilion setahun daripada sektor pelancongan di Langkawi, jadi wajar bantuan disalurkan semula kepada pengusaha bagi memastikan akses ke pulau lancar,” katanya.
Pada masa sama, Sanusi tegaskan, semua pihak wajar menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan.
“Jangan sebar perkara negatif yang tak betul. Dakwaan larangan berpakaian seperti tak boleh pakai seluar pendek adalah tidak benar dan hanya beri persepsi negatif. Perkara seperti ini perlu dihentikan,” katanya.

Post a Comment