PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DIPERKASA, AI JADI FOKUS UTAMA
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR –Komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan luar bandar dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik selaras dengan gagasan The Greater Kedah 2050, termasuk usaha memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat desa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, usaha membandarkan kawasan luar bandar perlu diperkukuhkan bagi memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi semasa.
Tambahnya, pendedahan kepada teknologi baharu seperti AI amat penting bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing penduduk luar bandar dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Jurang penggunaan teknologi AI antara penduduk bandar dan luar bandar masih ketara ketika ini, namun langkah proaktif sedang diambil bagi memastikan keseimbangan pembangunan dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Perancangan dan pelaksanaan pembangunan luar bandar perlu digerakkan secara bersama agar matlamat kerajaan negeri dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan.
Jelas Siti Ashah, KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi pelaksanaan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kedah, sehingga 14 April 2026, sebanyak 116 projek JPD telah diluluskan melibatkan pelbagai daerah di negeri ini.
Menurut beliau, sebanyak 103 projek lain turut diluluskan dengan jumlah peruntukan mencecah RM275.89 juta, termasuk Program Pengukuhan Institusi dan Ekonomi Desa (PPID) bernilai RM2 juta di bawah KEDA.
“Program ini bertujuan memperkukuh institusi luar bandar yang masih memerlukan bimbingan dari segi kemahiran, pengetahuan dan pengurusan organisasi yang lebih sistematik.
“Kerajaan negeri juga memberikan komitmen penuh dalam penyediaan tapak bagi Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Charok Tembaga di Sik yang bernilai lebih RM46 juta,” ujar beliau.

Post a Comment