KERAJAAN PERLU PELAN MITIGASI HADAPI IMPAK KONFLIK ASIA BARAT – ADUN PENGKALAN KUNDOR
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri digesa memberi tumpuan kepada penyediaan pelan mitigasi yang jelas serta berkongsi perancangan tersebut dengan rakyat bagi meredakan kebimbangan susulan konflik Asia Barat.
Menurut ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, dalam situasi mencabar ketika ini, Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya terlalu banyak menggunakan masa dan kuasa untuk mendiamkan kritikan rakyat, sebaliknya perlu tampil dengan penyelesaian yang meyakinkan.
“Rakyat perlukan jaminan penyelesaian, bukannya kemarahan. Istilah seperti buta huruf, bebal dan dangkal terhadap kritikan rakyat tidak membantu memperbaiki keadaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul titah menjunjung kasih Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Katanya, konflik Asia Barat yang kini memasuki hari ke-45 telah memberi kesan ketara kepada Malaysia dan dijangka berpanjangan berikutan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai sebarang persetujuan.
Jelas beliau, berbeza dengan konflik lain sebelum ini, krisis Asia Barat memberi impak yang lebih meluas di peringkat global dan secara langsung dirasai oleh rakyat negara ini.
“Kerana itu kerisauan rakyat adalah munasabah. Mereka panik, tertekan dan terbeban, dan itu adalah realiti yang perlu difahami semua pihak.
“Rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, selagi tidak melanggar undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa rakyat kini turut berdepan kesan berantai susulan konflik tersebut, termasuk peningkatan kos pengangkutan, logistik dan harga barangan yang akhirnya menekan kos sara hidup.

Post a Comment