Header Ads

test

KERAJAAN PERSEKUTUAN DIDAKWA GAGAL URUS KRISIS MINYAK, NARATIF NEGATIF JEJAS KEYAKINAN PELABUR

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan didakwa gagal mengurus krisis minyak negara dengan baik termasuk aspek penyampaian naratif sehingga menjejaskan keyakinan pelabur dan memberi gambaran negatif terhadap kedudukan ekonomi Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pendekatan komunikasi kerajaan yang menyatakan bekalan minyak hanya mampu bertahan sehingga 55 hari memberi persepsi berbahaya kepada negara.
“Ini satu mesej yang salah kerana kita negara pengeluar minyak. Kerajaan Persekutuan dilihat gagal dalam konteks pengurusan krisis, mereka gagal memberikan optik yang betul kepada masyarakat, apa yang digambarkan sesuatu yang mendukacitakan.
“Walaupun kita digambarkan sebagai pengimport bersih, kita masih mempunyai sumber dan rizab yang boleh diusahakan bagi menjamin kelangsungan tenaga negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azizan Hamzah (PAS-Bukit Selambau) berhubung pendekatan Kerajaan Negeri dalam menangani krisis minyak yang dijangka memberi kesan kepada agenda The Greater Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, kenyataan berkaitan tempoh bekalan minyak itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan rakyat, malah memberi imej seolah-olah negara berada dalam keadaan kritikal selepas tempoh tersebut.
“Kerajaan Persekutuan perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan kerana ia memberi kesan langsung kepada pelabur yang ingin melabur di negara ini termasuk Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia perlu meningkatkan simpanan petroleum strategik serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran terbuka bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga.
“Saya harap kita sama-sama menggerakkan usaha dan memastikan negara dapat mengambil langkah lebih baik, iaitu kita perlu ada simpanan stok bekalan petroleum lebih tinggi. Kita juga harus memastikan kebergantungan kita kepada pemasaran terbuka ini dapat kita kawal dengan lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, negara lain mempunyai simpanan minyak jauh lebih tinggi seperti Jepun (254 hari), China (115 hari), Thailand (91 hari) dan Filipina (90 hari), malah Singapura yang bukan pengeluar minyak turut mempunyai simpanan untuk tempoh berbulan-bulan.
“Ini menunjukkan kita masih ketinggalan dari segi perancangan strategik dan komunikasi kepada dunia luar,” ujarnya.
Mengulas kesan terhadap ekonomi, Haim Hilman berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara kini berdepan tekanan besar susulan peningkatan kos operasi.
Katanya, PKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai sekitar RM652.4 bilion melibatkan kira-kira 54,000 syarikat di seluruh negara.
“Laporan daripada Federation of Malaysian Manufacturers menunjukkan kira-kira 25,000 syarikat terkesan dengan peningkatan kos operasi antara 10 hingga 20 peratus.
“Selain itu, 12,000 syarikat mengalami peningkatan kos antara 30 hingga 50 peratus manakala 6,000 syarikat berdepan kenaikan lebih 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu boleh membawa kepada kejatuhan ekonomi sekiranya kerajaan tidak mengambil pendekatan strategik dalam menangani krisis berkenaan.
“Bayangkan jika PKS lumpuh, keseluruhan ekonomi negara turut terjejas kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi kita,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Loh Wei Chai (PKR-Bakar Arang) mengenai langkah Kerajaan Negeri, Haim Hilman menjelaskan, banyak keputusan utama termasuk penetapan harga minyak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Yang Berhormat tanya soalan dalam kerangka kecil (Kedah). Actually we can do better if we control the federal government. We can do a lot more than what the present government is doing.
“Jika negeri mempunyai kuasa lebih besar, kita boleh melaksanakan dasar yang lebih berorientasikan keperluan ekonomi negeri dan negara,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan krisis, hasil tambahan kerajaan seperti kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta penjimatan daripada rasionalisasi subsidi sepatutnya disalurkan semula kepada rakyat.
“Namun, perkara itu gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau, di peringkat negeri, usaha akan terus digerakkan bagi memperkukuh ekonomi dengan menggalakkan semua sektor mengambil langkah lebih proaktif dalam menghadapi cabaran semasa.
“Insya-ALLAH, dengan usaha bersama, agenda The Greater Kedah dapat direalisasikan,” katanya.

Tiada ulasan