PERTIKAI DATA PELANCONGAN: TAK WAJAR BANDINGKAN LANGKAWI DENGAN PHUKET, BALI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dakwaan Langkawi kononnya lesu adalah tidak berasas, apabila data rasmi menunjukkan prestasi pelancongan pulau peranginan itu terus meningkat berdasarkan pertambahan jumlah kemasukan pelancong.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, statistik yang dikemukakan sebelum ini adalah bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempersoalkan kedudukan Langkawi, namun data tersebut dipandang sinis sebagai ‘suam-suam kuku’.
“Data yang saya bentangkan sebelum ini adalah untuk menyanggah kenyataan beliau yang menyifatkan Langkawi lesu, data-data itu membuktikan kenyataan beliau tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Mohd Salleh mengumumkan, Langkawi merekodkan 1,093,937 pelancong pada tahun 2021, dan meningkat kepada 2,581,605 pada 2022. Seterusnya, bertambah kepada 2,810,322 (2023), 2,904,629 (2024) dan melonjak kepada 3,215,730 pelancong pada 2025 sempena Tahun Melawat Kedah (TMK2025).
Menurut beliau, tindakan Teresa yang berterusan membuat kenyataan jelek mengenai Langkawi amat dikesali, terbaharu beliau membandingkan Langkawi dengan Phuket dan Bali.
“Dalam reaksi balasnya terhadap data tersebut, Teresa mengalih tiang gol dengan membandingkan pula Langkawi dengan Phuket dan Bali dari segi kemasukan pelancong dan peningkatan jumlah kehadiran.
“Perbandingan itu adalah perbahasan yang terlalu simplistik, tidak adil secara struktur, menafikan perbezaan ketara geopolitik, sejarah dan ekonomi serta bersifat ketidakjujuran intelek,” ujarnya.
Mohd Salleh tegaskan, kedua-dua destinasi antarabangsa itu telah dibangunkan jauh lebih awal dengan sokongan agresif kerajaan Pusat masing-masing, selain memiliki kapasiti penerbangan antarabangsa lebih besar serta jaringan laluan global yang luas.
“Sektor pelancongan Phuket mula dibangunkan sejak awal 1970-an, Bali pula menarik kunjungan pelancong asing sejak tahun 1920-an. Ketika kedua-dua destinasi itu sedang berkembang, Langkawi masih dalam belenggu 'Sumpah Mahsuri'.
“Sebarang perbandingan haruslah bersifat setara. Dasar kemasukan pelancong di kedua-dua pulau tersebut juga bersifat lebih terbuka.
“Langkawi sebaliknya beroperasi dalam ekosistem yang berbeza sama sekali, dengan saiz dan kapasiti lebih kecil serta bergantung kepada dasar di peringkat Persekutuan,” katanya.
Mohd Salleh turut menepis dakwaan bahawa Kerajaan Negeri bersikap lepas tangan dalam membangunkan pulau Permata Kedah itu.
“Kerajaan Negeri telah melakukan segala yang termampu di bawah bidang kuasa untuk gilap, mempromosi dan mengangkat Langkawi. Kami tidak ada masalah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kerana mereka juga bertungkus lumus di bawah bidang kuasa mereka.
“Namun menuduh Kerajaan Negeri bersikap lepas tangan dan menyerahkan pembangunan Langkawi kepada LADA adalah satu lagi kenyataan tidak berasas.
“LADA hanya sebuah agensi. Persoalan besarnya, di mana peranan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan,” soalnya.
Jelas beliau, banyak aspek kritikal yang mempengaruhi industri pelancongan pulau itu berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, antaranya kelulusan penerbangan, pembesaran lapangan terbang, insentif laluan antarabangsa, operasi dan tambang feri, polisi visa, promosi pelancongan global, pelancongan kapal pelayaran, kastam serta cukai.
“Semua itu di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.
“Langkawi sinonim dengan masalah feri, tetapi apakah solusinya? Ini antara halangan terbesar yang menjejaskan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi. Ini bukan masalah baharu, berulang kali isu ini dibangkitkan termasuk oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri terdahulu,” katanya.
Menurut beliau, perkhidmatan feri tidak seharusnya berorientasikan komersial semata-mata kerana ia merupakan keperluan asas penduduk.
“Saya sendiri beberapa kali mohon Kerajaan Persekutuan melakukan sesuatu agar masalah perkhidmatan feri di Langkawi diatasi secara tuntas, terbaharu pada persidangan DUN Kedah bulan lepas,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Teresa membawa isu berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya benar-benar mahu membantu memajukan Langkawi.
“Jika YB ikhlas, tolong bawa perkara ini kepada rakan-rakan YB dalam Kerajaan Persekutuan. Ia lebih baik daripada mengarang kisah-kisah keburukan Langkawi semata-mata atas sebab dan dorongan politik.
“Cubaan mengaitkan isu pelancongan melalui serangan peribadi atau persepsi politik ke atas Menteri Besar Kedah, sebagaimana dilakukan YB juga tidak membantu memperkukuh industri ini,” katanya.
Mohd Salleh turut mengingatkan sektor pelancongan memerlukan pendekatan berasaskan data, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta strategi jangka panjang yang konsisten.
“Menggunakan contoh acara tertentu sebagai ukuran tunggal kejayaan ekonomi juga merupakan pendekatan simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar pembangunan pelancongan yang mampan,” ujarnya.
Beliau tegaskan pembangunan pelancongan di Kedah termasuk Langkawi berteraskan nilai agama dan budaya tempatan.
“Kita tawarkan apa yang kita ada, apa yang diiktiraf khalayak antarabangsa sebagaimana disebut Teresa sendiri, tanpa perlu meminjam atau bawa masuk apa yang bertentangan dengan nilai-nilai setempat.
“Tidak kira sebesar gunung mana sekalipun laba yang menanti, kami tidak akan cagarkan nilai-nilai itu,” tegasnya.

Post a Comment