HAB TENAGA HIJAU: LADANG SOLAR TERAPUNG BAKAL DIREALISASIKAN DI PADANG TERAP
Ku Azizah Ku Hamid
PADANG TERAP - Daerah Padang Terap dilihat berpotensi besar muncul sebagai hab tenaga hijau baharu menerusi cadangan pembangunan ladang solar terapung di Ampangan Ahning yang dijangka menjadi pemangkin kepada peralihan tenaga lestari di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, projek berkenaan bukan sahaja berpotensi menjadikan Kedah sebagai peneraju inisiatif tenaga hijau di peringkat nasional, malah mampu menarik pelaburan strategik dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
“Usaha ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan daerah di samping memperkukuh kedudukan Kedah sebagai peneraju dalam inisiatif tenaga hijau di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke lokasi berkenaan bagi meninjau potensi pembangunan tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi institusi diraja terhadap tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Turut berangkat sama, Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' Mohd Fauzi Mustaffa; wakil Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta Pejabat Daerah Padang Terap.
Mohamad Yusuf berkata, ini membuktikan Padang Terap mempunyai nilai strategik yang tinggi dalam pembangunan masa depan negeri, khususnya dalam sektor tenaga lestari yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat dari segi ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Pembangunan solar terapung bukan sahaja menyokong usaha mengurangkan jejak karbon, malah membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu, menarik pelaburan strategik serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya.

Post a Comment