HARI AIR SEDUNIA BUKAN PROGRAM HIBURAN, IA PLATFORM KESEDARAN KEPENTINGAN AIR
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sambutan Hari Air Sedunia bukanlah program berbentuk hiburan atau aktiviti mandi-manda seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya ia merupakan agenda antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan kepentingan air sebagai hak asasi manusia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, cubaan mengaitkan sambutan rasmi tersebut dengan festival hiburan adalah satu naratif yang tidak tepat dan mengelirukan masyarakat.
“Sebelum ini saya fikir permainan naratif yang menyamakan Kerajaan Negeri Kedah menyambut Hari Air Sedunia dengan Festival Air Rain Rave hanya lawak hambar, dan main-main saja. Rupanya ada yang benar-benar boleh terima naratif sebegitu,” katanya, hari ini.
Beliau menegaskan, sambutan Hari Air Sedunia tidak mempunyai sebarang unsur hiburan seperti disko atau aktiviti mandi-manda, sebaliknya berfungsi sebagai platform kesedaran mengenai kepentingan sumber air bersih yang menjadi keperluan asas kehidupan.
“Macam mana orang yang menyokong dan berada dalam Kerajaan Persekutuan boleh mainkan naratif sebegini?
“Sambutan Hari Air sama seperti sambutan Hari Polis, Hari Bomba, Hari Jururawat, biarpun ramai tak tahu, tetapi hari istimewa ini memang ada dan disambut,” katanya.
Mardhiyyah jelaskan, Sambutan Hari Air Sedunia disambut di peringkat antarabangsa oleh PBB dan diraikan di semua negara termasuk peringkat negeri.
“Boleh rujuk laman rasmi PBB, yang menekankan air bersih adalah hak asasi manusia. Kelompok paling terkesan dengan ketiadaan air bersih adalah wanita dan remaja perempuan. Sebab itu Hari Air Sedunia disambut di peringkat global oleh PBB untuk membawa mesej keperluan asas yang merupakan hak asasi,” jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia turut menyambut Hari Air Sedunia di peringkat kebangsaan termasuk penganjuran rasmi pada 25 April 2026 di Pantai Tanjung Bidara, Melaka, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Sambutan di Melaka itu jelas menunjukkan ia bukan program berasaskan politik. Ia juga bukan sekadar acara tahunan bersifat simbolik, sebaliknya sebagai platform strategik dalam memperkukuh pengurusan sumber air negara serta menyokong pembangunan negeri secara mampan,” katanya.
Mardhiyyah berkata, program seumpama diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat, sukan pantai, pameran agensi berkaitan air serta aktiviti santai yang bersifat pendidikan dan kesedaran awam.
Di Kedah pula, tegas beliau, sambutan Hari Air Sedunia diadakan di Dataran Chenang, Langkawi yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Program itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 500 peserta daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, rakan strategik dan penduduk setempat,” katanya.
Antara pengisian yang diadakan termasuk kayuhan santai LSANK Ride & Discover Langkawi sejauh 8.5 kilometer, pameran agensi, program jalinan ukhuwah serta pertandingan inovasi bertemakan sumber air.
Pertandingan mewarna turut dianjurkan bagi memupuk kesedaran awal kalangan kanak-kanak, manakala pertandingan inovasi pelajar sekolah menengah menjadi platform mencungkil idea baharu dalam pengurusan sumber air.
“Penganjuran program Hari Air Sedunia jelas menjadi platform penting meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air di samping merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, tanpa dicemari elemen hiburan melampau,” katanya.

Post a Comment