Header Ads

test

JAUHI AKTIVITI POLITIK, MASJID PERLU KEKAL MEDAN PENYATUAN, BUKAN PERPECAHAN - RAJA MUDA KEDAH


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masjid tidak boleh dijadikan medan perbalahan atau tempat menyemai bibit perpecahan, sebaliknya perlu kekal sebagai institusi yang menyatukan umat Islam.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah,
semua aktiviti dan unsur politik dilarang sama sekali diadakan di premis masjid bagi mengelakkan perpecahan kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
Baginda bertitah, larangan itu meliputi ucapan, ceramah mahupun perbincangan tidak rasmi yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Sebarang penganjuran program politik oleh mana-mana pihak dalam apa jua bentuk sekalipun di premis masjid dan surau adalah tidak dibenarkan,” titah baginda sempena Seminar Pemerkasaan Institusi Masjid Negeri Kedah Darul Aman 2026 di sini, hari ini.
Tengku Sarafudin Badlishah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menegaskan,
dalam suasana masyarakat pelbagai pandangan dan latar belakang, masjid perlu kekal sebagai tempat yang menyatukan, bukan memisahkan.
“Apabila masjid terpelihara daripada perpecahan, masyarakat di luar juga akan lebih aman dan bersatu. Masjid merupakan lambang kesatuan umat Islam. Justeru, keharmonian di dalam masjid hendaklah sentiasa dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menekankan aspek pengurusan masjid perlu dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan telus, khususnya melibatkan kewangan yang disumbangkan oleh masyarakat.
“Elakkan sebarang bentuk salah guna kuasa atau kecuaian yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid.
“Setiap sen yang disumbangkan adalah amanah dan perlu diurus dengan teratur serta bertanggungjawab,” titah baginda.
Jawatankuasa masjid juga diseru memainkan peranan aktif dalam merancang dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada kariah, termasuk mematuhi garis panduan kewangan yang ditetapkan sejak 1 September 2022.
Selain itu, baginda mengingatkan semua pihak agar mematuhi arahan serta garis panduan pihak berkuasa agama negeri termasuk penggunaan pembesar suara di masjid dan surau.
“Sebagai contoh, laungan azan hendaklah menggunakan pembesar suara luar manakala ceramah dan kuliah menggunakan pembesar suara dalam dengan kadar bunyi bersesuaian.
“Perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun ia memberi kesan besar kepada keharmonian masyarakat setempat. Gunakanlah kemudahan dengan penuh hikmah, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengelakkan sebarang gangguan yang tidak perlu,” titah baginda.
Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan bahawa masjid berpotensi sebagai pusat pembangunan ummah yang komprehensif, termasuk dalam aspek ekonomi Islam melalui pelaksanaan program dan aktiviti terancang.
“Sebagai contoh, Masjid Al Busyra di Merbok berjaya membangunkan hotel, kedai runcit, serta menyediakan sewaan tapak perniagaan dalam kawasan masjid, sementara Masjid Sharifah Fatimah di Jitra mengusahakan dobi layan diri, sewaan tapak niaga serta penganjuran karnival makanan.
“Ia berjaya menarik kehadiran masyarakat ke masjid. Langkah proaktif ini wajar dijadikan contoh kepada masjid-masjid lain agar program ekonomi Islam dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan ummah,” titah baginda.
Baginda juga mahu jawatankuasa masjid menggunakan pendekatan bersesuaian untuk menarik golongan muda mengimarahkan masjid.
Dalam menghadapi cabaran era moden, Raja Muda Kedah turut menggalakkan penggunaan platform digital dan media sosial sebagai medium dakwah, namun perlu dikawal agar tidak mencetuskan polemik atau penyebaran maklumat tidak sahih.
“Pendekatan dakwah perlu seiring dengan perubahan semasa. Penganjuran kelas agama dan kuliah secara atas talian antara inisiatif yang wajar dilihat sebagai pelengkap, bukan pengganti kepada institusi masjid.
“Gunakanlah platform digital dan media sosial sebagai medium menyampaikan mesej Islam yang benar, sederhana dan menenangkan. Namun, berhati hatilah agar tidak terjebak dalam perbalahan yang boleh merosakkan imej Islam itu sendiri,” titah baginda.

Tiada ulasan