KUALA NERANG KINI LEBIH BERCAHAYA, UTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
Ku Azizah Ku Hamid
KUALA NERANG – Beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang kini lebih cerah dan selamat selepas pemasangan lampu solar menerusi inisiatif Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Nerang.
ADUN Kuala Nerang, Dato' Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kawasan gelap yang sekian lama membimbangkan penduduk selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan keselesaan masyarakat setempat.
Menurut beliau, aspek pencahayaan awam tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan keselamatan, kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.
“Kita mahu penduduk Kuala Nerang menikmati pembangunan yang seimbang, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, kebajikan rakyat mesti terus diberi perhatian dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan lampu solar juga merupakan pendekatan lebih moden dan mesra alam serta mampu menjimatkan kos dalam jangka panjang, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada penduduk.
“Saya harap segala usaha yang dilaksanakan ini dipermudahkan ALLAH SWT dan menjadi asbab kepada kesejahteraan berterusan buat seluruh warga Kuala Nerang,” ujarnya.

Post a Comment