MBAS PERKENAL ‘NADI’, TEMPOH KELULUSAN PEMBANGUNAN DIPENDEKKAN SEHINGGA 27 HARI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperkenalkan Manual New Approval For Development Initiatives (NADI) yang dirangka untuk mempercepatkan dan memudah cara kelulusan pelan pemajuan di kawasan pentadbirannya di daerah Kota Setar dan Pokok Sena.
Datuk Bandar Alor Setar, Dato' Abdul Gafar Yahya berkata, inisiatif yang dilaksanakan bermula 1 Mac lalu berjaya memendekkan tempoh kelulusan pembangunan, sekali gus memperkukuh usaha menarik lebih banyak pelabur ke Kedah menerusi sistem penyampaian lebih cekap.
Menurut beliau, tempoh kelulusan bangunan industri dan komersial dikurangkan daripada 99 hari kepada hanya 27 hari, manakala Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) berisiko rendah dipendekkan daripada 98 hari kepada 14 hari.
"Pengurangan tempoh pemprosesan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos pematuhan, malah mempercepatkan pelaksanaan projek, mewujudkan peluang pekerjaan lebih awal serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
"Dalam era persaingan ekonomi yang semakin sengit, pelabur bukan hanya menilai lokasi, infrastruktur dan insentif, sebaliknya turut melihat kecekapan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang cepat, telus, konsisten dan boleh dijangka," katanya.
Abdul Gafar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manual NADI MBAS dan Penyerahan Sijil Kelulusan KMTT kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan NADI bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah yang sedang memperkasakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), bertujuan mengurangkan kerenah pentadbiran, mempercepatkan proses membuat keputusan serta meningkatkan produktiviti sektor awam.
Tambah beliau, MBAS mendaftarkan NADI sebagai projek RKB 2026 yang mengandungi enam inisiatif bagi memudah cara kelulusan pembangunan dalam memastikan MBAS bergerak seiring dengan kehendak semasa serta keperluan komuniti perniagaan.
Abdul Gafar memaklumkan, prestasi sosioekonomi Kedah terus menunjukkan perkembangan positif apabila laporan Indikator Sosioekonomi Negeri Kedah bagi suku pertama 2026 diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), merekodkan inflasi yang terkawal, pasaran buruh kukuh, sentimen perniagaan yang positif serta pertumbuhan penduduk yang terus meningkat.
“Prestasi ini mencerminkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap prospek ekonomi Kedah.
"Namun kejayaan sesuatu reformasi bukan diukur pada hari pelancarannya, sebaliknya keberkesanannya selepas dilaksanakan. Reformasi ini perlu menjadi budaya kerja berterusan dan bukan hanya memberi impak pada peringkat awal sebelum kembali kepada amalan lama," katanya.
Menurutnya, NADI mengekalkan keseimbangan antara keperluan memudah cara pelaburan dengan tanggungjawab kerajaan memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang agar kepentingan awam terus dipelihara.
Pada majlis sama, Abdul Gafar turut menyampaikan Sijil Kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. yang merupakan antara syarikat terawal mengemukakan permohonan hasil pelaksanaan Ops Pemutihan Kilang-Kilang.
“Langkah diambil syarikat ini wajar dijadikan contoh pemilik industri dan pengusaha kilang lain dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan memperoleh kelulusan perancangan sewajarnya serta mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
“Pematuhan terhadap peraturan perancangan bukanlah beban, sebaliknya ia pelaburan jangka panjang yang memberi kepastian kepada operasi perniagaan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pembangunan lebih tersusun,” katanya.
Sementara itu, MBAS turut menawarkan peluang kepada pemilik premis industri dan komersial seperti bengkel, gudang dan stor mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang sehingga 31 Disember depan dengan mempertimbangkan insentif diskaun kompaun.
Kemudahan sama turut diperluaskan kepada pemilik rumah kediaman yang menjalankan aktiviti perniagaan di premis masing-masing tanpa kelulusan perancangan.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada pemilik premis tampil secara sukarela bagi mengesahkan status pembangunan masing-masing selain mematuhi kehendak perundangan,” katanya.
Post a Comment