Header Ads

test

PERKUKUH AGENDA KELESTARIAN MELALUI PEMULIHARAAN SUNGAI, PENGURUSAN AIR MAMPAN

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh agenda kelestarian menerusi pelbagai inisiatif pemuliharaan sungai, pembangunan rendah karbon dan pengurusan sumber air secara mampan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dapat diwarisi generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, antara inisiatif yang sedang giat dilaksanakan ialah 'Kempen Sayangi Sungai Kita', projek tadahan air hujan di sekolah dan pejabat kerajaan serta program 'Satu Komuniti, Satu Sungai Angkat'.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan memelihara sumber air, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar secara berterusan.
“Usaha memelihara alam sekitar tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan penglibatan aktif dan kerjasama semua lapisan masyarakat bagi memastikan matlamat kelestarian dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Air dan Alam Sekitar 2026 Peringkat Parlimen Alor Setar di perkarangan Masjid An-Nur Kariah Tok Keling, di sini hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, masyarakat juga perlu membudayakan amalan penjimatan air, mengelakkan pencemaran daripada sumber domestik dan industri serta menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, penanaman pokok dan pembersihan sungai.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan sumber air dan alam sekitar terus terpelihara untuk manfaat generasi masa depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk Fun Walk, gotong-royong, penanaman pokok, pameran agensi kerajaan dan swasta, kaunter kitar semula, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan kerabu, cabutan bertuah serta forum perdana.
“Diharapkan program seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada gerakan bersama antara kerajaan dan rakyat dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan sihat demi masa depan Kedah,” katanya.

Tiada ulasan