Header Ads

test

KEDAH SASAR RIZAB BEKALAN AIR 15 PERATUS MENJELANG 2027


Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Kedah menyasarkan rizab bekalan air negeri meningkat kepada 15 peratus menjelang 2027 menerusi pelaksanaan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang giat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, projek melibatkan LRA Pelubang, Lubuk Buntar, Jenun Baharu, Bukit Selambau dan Sungai Limau itu merupakan usaha strategik Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu kekurangan rizab bekalan air yang sekian lama membelenggu Kedah.

Menurut beliau, LRA Pelubang kini mencapai kemajuan 92 peratus mengikut jadual, manakala LRA Jenun Baharu pula mencatat kemajuan 98 peratus dan dijangka diserahkan untuk operasi dalam masa terdekat.

“Apabila semua projek ini siap sepenuhnya, kapasiti bekalan air negeri akan meningkat dengan ketara berbanding keadaan semasa yang tidak mempunyai lebihan bekalan,” katanya ketika berucap pada Program Hari Air dan Alam Sekitar 2026 Peringkat Parlimen Alor Setar di Masjid An-Nur Kariah Tok Keling, di sini.

Beliau berkata, LRA Lubuk Buntar telah siap sepenuhnya dan kini beroperasi, sekali gus menambah kapasiti bekalan air negeri sebanyak 34 juta liter sehari.

Dalam pada itu, beliau jelaskan projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau berdepan kelewatan susulan masalah melibatkan kontraktor pelaksana.

Menurutnya, kontrak bagi projek LRA Sungai Limau telah ditamatkan mengikut prosedur ditetapkan selepas kontraktor gagal memenuhi komitmen yang ditetapkan.

“Penamatan kontrak ini dijangka menyebabkan peningkatan kos projek apabila kontraktor baharu dilantik untuk meneruskan baki kerja pembinaan yang tertangguh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta mengelakkan pembaziran bagi memastikan bekalan air dapat dinikmati secara adil dan berterusan oleh semua pengguna.

Katanya, Kerajaan Negeri komited meneruskan pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan isu bekalan air dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang sedang berjalan.

Tiada ulasan