BADDROL BAKHTIAR DILANTIK PENGURUS KEDAH FA, PERKUKUH MISI BURU KEJAYAAN LIGA A1 SEMI-PRO
Roslinda Hashim
ALOR SETAR – Legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar dilantik sebagai Pengurus Pasukan Kedah FA bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026-2027.
Pelantikan bekas kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu diumumkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Radhi Mat Din menerusi kenyataan media di laman rasmi persatuan berkenaan.
Menurut Muhammad Radhi, pengalaman luas dimiliki Baddrol sebagai pemain dan ketua pasukan diyakini mampu memperkukuh struktur pasukan serta meningkatkan daya saing skuad Hijau Kuning selepas menamatkan saingan di tangga ketiga Liga A1 Semi-Pro musim lalu.
"KFA percaya pelantikan ini bukan sahaja akan mengukuhkan struktur pasukan, malah pengalaman yang ada pada Baddrol akan menjadi pemangkin kepada pembentukan pasukan yang lebih berdisiplin dan mampu bersaing di peringkat tertinggi," katanya.
Baddrol mencipta nama sebagai antara pemain paling berpengaruh Kedah sebelum menyertai Sabah FC dan turut menggalas tugas sebagai kapten pasukan itu.
Beliau kemudian menyertai arena politik pada 2023 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
Sementara itu, pada 8 Jun lalu, KFA turut mengumumkan pelantikan bekas pemain Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai Ketua Jurulatih baharu Kedah FA menggantikan Victor Andrag.
Pengumuman pelantikan Akmal Rizal dibuat Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pasukan menjelang musim baharu.
Post a Comment