Header Ads

test

BENDUNG BERITA PALSU ELAK PROVOKASI

"MCMC, PDRM WAJAR BERTINDAK"
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mempergiat usaha membendung penularan berita tidak sahih yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan politik.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd. Samat berkata, semua pihak perlu memainkan peranan memastikan setiap maklumat yang dikongsi telah disahkan kesahihannya sebelum disebarkan kepada orang ramai.
Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencetuskan salah faham dan provokasi, malah berpotensi menimbulkan kebencian kalangan masyarakat.
"Agensi-agensi kerajaan sendiri sentiasa mengadakan kempen supaya orang ramai memastikan sesuatu maklumat itu sahih sebelum dikongsi. Jika perkara ini tidak dilaksanakan dengan betul, ia boleh menggugat keharmonian negara.
"Justeru, PDRM wajar mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang dibuat supaya perkara seperti ini tidak terus dimanipulasi pihak tertentu. Apabila semua pihak memainkan peranan, kita dapat melahirkan masyarakat yang aman dan menerima maklumat yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Big Bad Wolf Books Alor Setar 2026 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini hari ini.
Mohd Azam mengulas isu ucapan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang telah diputar belit dan dimanipulasi pihak tertentu sehingga mencetuskan polemik.
Pada 23 Julai lalu, ketika berucap dalam satu ceramah di Negeri Sembilan, Sanusi dilaporkan berkata: "Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja."
Petikan ucapan itu kemudian mencetuskan kontroversi apabila disalah tafsir dan ditokok tambah oleh pihak tertentu sehingga membawa maksud di luar konteks asal.
Menurut Mohd Azam, kenyataan dikemukakan Menteri Besar Kedah itu sebenarnya merujuk kepada realiti sejarah negara dan tidak sepatutnya disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif.
"Apa yang dikemukakan beliau adalah realiti sejarah yang ada. Pada masa sama, kita menerima hakikat bahawa masyarakat Malaysia hari ini terdiri daripada pelbagai kaum yang bersama-sama membangunkan negara.
"Kita membina negara ini berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dipersetujui. Orang Melayu menjadi teras negara ini, namun kita tidak pernah menzalimi mana-mana kaum lain untuk hidup bersama secara aman, inilah realiti,” katanya.
Tambah beliau, apabila perkara seumpama dimanipulasi, ia sebenarnya boleh menimbulkan kebencian kalangan masyarakat majmuk.
“Janganlah ucapan bersifat sejarah dan bangsa sengaja dimanipulasi, ucapan sedemikian jika difahami dalam konteks sebenar, ia memberi kesedaran kepada kita semua tentang hakikat pembentukan negara Malaysia," katanya.

 

Tiada ulasan