KERJASAMA SWASTA, KERAJAAN NEGERI PENTING UNTUK TINGKATKAN LITERASI MASYARAKAT
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerjasama antara sektor swasta dan Kerajaan Negeri amat penting dalam usaha meningkatkan literasi masyarakat kerana pembangunan budaya ilmu tidak mampu digerakkan secara bersendirian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd. Samat berkata, sinergi pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan komuniti dan individu akan mempercepatkan usaha melahirkan masyarakat berilmu selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Menurutnya, pembangunan sesebuah negeri bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, malah memerlukan golongan ilmuwan, ulama serta generasi berpengetahuan yang dibentuk melalui amalan membaca.
“Pembudayaan membaca itu penting, bukan hanya untuk mengisi masa lapang tetapi juga untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang akan mempersiapkan kita untuk menghadapi cabaran masa kini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Big Bad Wolf Books Alor Setar 2026 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.
Mohd Azam berkata, justeru semua pihak perlu memainkan peranan membantu masyarakat memperoleh ilmu dan pendidikan yang berkualiti.
“Seperti disebut Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Kedah ialah tempat orang miskin berteduh dan orang kaya menabur bakti. Orang kaya itu termasuklah agensi kerajaan, swasta, syarikat-syarikat yang turut serta membantu masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah akan menganjurkan Pesta Buku Kedah dan Minggu Digital Kedah 2026 di Village Mall, Sungai Petani dari 24 hingga 30 September depan.
Menurutnya, penganjuran dua program serentak itu dijangka mampu memperluaskan lagi budaya membaca dan mempercepatkan pembudayaan ilmu kalangan rakyat negeri ini.
“Kehadiran Big Bad Wolf Books ke Alor Setar kali ini tepat pada masanya. Acara tersebut berlangsung serentak dengan Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 di Stadium Darul Aman.
“Sinergi hebat dua acara besar ini pastinya menyemarakkan lagi kemeriahan pelancongan domestik, merancakkan ekonomi Alor Setar, serta menarik ribuan pengunjung dari seluruh Kedah, Perlis,Pulau Pinang untuk hadir ke pesta buku ini, sepanjang 11 hari bermula hari ini sehingga 9 Ogos,” katanya.
Beliau turut menggesa ibu bapa dan pihak sekolah mengambil peluang mengadakan lawatan ke pameran buku berkenaan bagi memupuk minat membaca kalangan pelajar.
Katanya, pelbagai buku berkualiti ditawarkan termasuk koleksi buku Bahasa Inggeris yang sesuai untuk membantu kanak-kanak membiasakan diri dengan bahasa tersebut sejak usia muda.
Dalam ucapannya sebelum itu, Mohd Azam berkata, pameran berkenaan merupakan antara usaha penting Kerajaan Negeri menggerakkan pembudayaan ilmu bermula daripada peringkat kanak-kanak sehingga ke peringkat masyarakat keseluruhannya.
“Dengan harga buku serendah RM3 dan diskaun sehingga 95 peratus, lebih ramai rakyat berpeluang memiliki bahan bacaan berkualiti untuk kegunaan keluarga masing-masing.
“Ini adalah hasrat kita dalam menjayakan agenda The Greater Kedah, iaitu melahirkan generasi muda yang berakhlak dan berilmu serta memahami sejarah dan masa depan negeri ini demi mengembalikan kegemilangan Kedah,” katanya.
Tambah beliau, budaya membaca juga antara yang dituntut agama kerana ia membina tamadun bangsa dan negara.
“Sebagai umat Islam, membaca merupakan perintah agama. Wahyu pertama yang diturunkan ialah ‘Iqra’ yang membawa maksud membaca. Ia bukan sekadar mengajar kita mengenal huruf, tetapi membina tamadun melalui ilmu.
“Bangsa yang membaca ialah bangsa yang berfikir dan akan melahirkan masyarakat yang berilmu, seterusnya melahirkan generasi yang tinggi sahsiahnya dan luas ilmunya. Golongan ini mampu membina negeri yang maju serta mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.
Post a Comment