PEMIMPIN PERLU FAHAM SEJARAH DAN ASAL USUL NEGARA - SANUSI
Roslinda Hashim
SEREMBAN - Pemimpin yang bercita-cita mentadbir negeri mahupun negara perlu memahami sejarah serta latar belakang pembentukan negara, bukannya mengabaikan hakikat tersebut demi kepentingan politik.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemimpin yang gagal memahami fakta sejarah dan memutar belit kenyataan bagi menimbulkan perpecahan kalangan masyarakat wajar ditolak
“Macam mana nak serah negeri ini kepada mereka? Tak boleh. Orang yang tak boleh faham persoalan semudah sejarah itu pun, dia tak faham. Dia usaha lagi untuk memutar belit, menokok tambah supaya timbul kemarahan, kebencian dan salah sangka supaya kita bergaduh.
“Pemimpin macam ini tak boleh jadi kerajaan. Kena tolak mereka,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini, pada Rabu.
Sanusi berkata, pemimpin yang baik perlu mengenali akar sejarah negara sebagaimana seseorang yang tinggal di sesebuah kampung perlu mengenali pemimpin setempat sebelum menjadi sebahagian daripada komuniti.
“Orang yang nak memerintah negeri dan negara ini perlu terdiri daripada orang yang faham akar tanah ini apa. Dia tak boleh duduk di tengah-tengah. Dia kena faham latar belakang.
“Ibarat kita tinggal di kampung, kena kenal tok imam siapa, penghulu siapa dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) siapa, barulah boleh tinggal. Tak boleh ambil tengah-tengah, nak lupakan sejarah, mana boleh” katanya.
Tambah beliau, sejarah telah membuktikan sikap terbuka masyarakat Melayu yang menerima kaum lain untuk menjadi rakyat di Tanah Melayu, sekali gus menyumbang kepada keharmonian negara.
“Apa yang baik tentang sejarah kita kena sebut. Betapa hebatnya nenek moyang kita menerima semua orang yang berada di sini untuk menjadi rakyat Tanah Melayu.
“Baiknya orang Melayu itu perlu disebut supaya tidak dilupakan. Takkan perkara baik pun tak boleh disebut,” ujarnya.
Sanusi tegaskan, sejarah perlu dijadikan pedoman bagi memahami keadaan semasa serta merancang masa depan, bukannya dipertikaikan.
“Saya hairan apabila sejarah tidak dapat diterima sebagai satu hakikat. Tak ada orang boleh patah balik perbetulkan kejadian pada masa lalu, kita sebut sejarah untuk dijadikan pedoman pada masa ini dan masa akan datang.
“Orang belajar sejarah untuk mengetahui apa yang terjadi pada masa lalu, memahami apa yang terjadi pada masa ini, dan merancang untuk masa depan. Kalau sejarah itu baik, kita rancang untuk diteruskan; kalau sejarah itu pilu, sedih, kita rancang supaya ia tidak berulang lagi. Itulah fungsi sejarah,” jelasnya.
Mengulas kontroversi ucapan terdahulunya, Sanusi sekali lagi menegaskan kenyataannya itu tidak pernah menggesa mana-mana kaum supaya pulang ke negara asal seperti didakwa sesetengah pihak.
“Bila saya suruh mereka balik? Tak ada perkataan 'balik' pun. Saya hanya gambarkan negara-negara itu dan kaitan penduduknya. Saya bagi contoh negara yang dekat dengan kita supaya jelas, seperti Thailand, China, India, Kemboja dan Vietnam.
“Itulah gambaran tanah ataupun negara dengan orang yang mendiami tanah itu. Saya nak beritahu tanah ini didiami oleh orang Melayu dan namanya Tanah Melayu. Mudah sahaja, tetapi itu pun tidak difahami,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, ketika berucap dalam ceramah di Negeri Sembilan, Sanusi menyatakan, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Ucapan itu kemudiannya menimbulkan kontroversi apabila petikan itu disalah tafsir dan ditokok tambah pihak tertentu sehingga membawa maksud di luar konteks.
Jelas beliau lagi, sebahagian besar rujukan sejarah negara ditulis oleh penjajah British dan menerusi sumber sejarah menunjukkan masyarakat tempatan ketika itu bersikap terbuka dan sanggup berkorban demi keamanan.
“Kita baca banyak bahan-bahan sejarah, kita akan temui betapa indahnya orang-orang yang baik hati telah berkorban begitu banyak.
“Dalam ucapan saya sebelum ini, saya juga sebut orang Cina boleh berniaga di kampung Melayu, orang India boleh tinggal di kampung Melayu. Itu hakikat sebenarnya, bukan saya reka.
“Orang baik-baik macam inilah yang patut diberi peluang memerintah supaya negeri ini terus aman, damai dan makmur,” katanya.
Post a Comment