Header Ads

test

JOM MERIAHKAN FESTIVAL AL- QURAN KEDAH 3.0


PELBAGAI AKTIVITI MENARIK DISEDIAKAN, CABUTAN BERTUAH RM10,000

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Al-Quran Kedah 3.0 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, dengan pelbagai pengisian ilmiah.
Program tahunan itu turut diserikan dengan acara cabutan bertuah wang tunai RM10,000 selain empat unit telefon pintar menanti pengunjung bertuah.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kerajaan Negeri menganjurkan festival itu buat kali ketiga sebagai usaha membudayakan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
"Kerajaan Negeri sekali lagi menganjurkan Festival Al-Quran Kedah buat kali ketiga. Datanglah beramai-ramai bersama seisi keluarga untuk memeriahkan program ini.
"Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat disediakan untuk semua lapisan usia dan masyarakat termasuk cabutan bertuah RM10,000 dan empat unit telefon pintar," katanya.
Tambah beliau, festival ini menjadi medan mengetengahkan al-Quran yang diprogramkan kepada beberapa bentuk pengisian untuk memupuk kembali perasaan cinta dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup umat khususnya rakyat Kedah.
Festival Al-Quran Kedah 3.0 bagi tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi merupakan acara tahunan anjuran Pejabat Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Pertubuhan Penggerak Masyarakat Alor Setar.
Bertemakan "Wahai Anak Muda, Kembalilah Kepada Al-Quran", festival itu bertujuan membudayakan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian, mendekatkan masyarakat dengan kitab suci itu agar menjadikannya sebagai panduan hidup serta melahirkan generasi al-Quran.
Program yang menyasarkan penyertaan kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum itu berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 11.30 malam sepanjang dua hari penganjuran.
Antara pengisian pada hari pertama (hari ini) ialah Kuliyah Dhuha bersama Ustazah Asma' Harun dan Ustazah Norhafizah Musa, pertandingan khat sekolah rendah, pertandingan marhaban, serta Munajat Perdana Awal Muharam bersama Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Syeikh Mohammad Rodi Abdul Rahman.
Pada malamnya dianjurkan Forum Penghayatan Al-Quran "Kembalilah Kepada Al-Quran" menampilkan Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Abdullah Khairi serta persembahan qasidah oleh Kumpulan Gus Husaini.
Ia kemudian diteruskan dengan majlis perasmian festival yang akan disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Hari kedua (Sabtu) pula dimulakan dengan program Fun Walk, pertandingan mewarna prasekolah, Kuliyah Dhuha bersama Ustaz Wadi Anuar serta program My#Quran Time bersama pentadabbur, Ustaz Fazrul Ismail.
Pada 1.30 petang pula diadakan, Ijtimak Pendidik dan Sambutan Hari Guru bersama Tuan Guru Syeikh Aminuddin Abd Rahim (Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah) dan Dato' Ustaz Ahmad Yahaya (Pengerusi HESA Kedah).
Seterusnya pada 5.00 petang berlangsung Ijtimak Huffaz serta Majlis Khatam Al-Quran Perdana bersama Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang, diikuti kuliah perdana maghrib.
Acara kemuncak majlis perasmian penutup pada sebelah malam akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, selain menampilkan bacaan al-Quran oleh Qari Ustaz Ammar Mukhlis dan adik Qayyim.
Festival itu turut mendapat sokongan beberapa penaja utama termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Smart Fix Centre bersama DKD, Ambiak Enterprise Sdn. Bhd. serta Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Tiada ulasan