Header Ads

test

FESTIVAL AL-QURAN 3.0 PERKASA PEMBUDAYAAN AL-QURAN DALAM MASYARAKAT


Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Usaha membudayakan pembacaan dan penghayatan al-Quran perlu diperkukuhkan secara berterusan dengan penglibatan semua lapisan masyarakat sebagai panduan hidup serta benteng daripada pelbagai gejala sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, inisiatif berkenaan memerlukan kerjasama institusi pendidikan, masjid, guru, ibu bapa serta masyarakat secara keseluruhannya.
Menurut beliau, penganjuran Festival Al-Quran 3.0 merupakan antara platform penting bagi menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian umat Islam.
“Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi benar-benar dijadikan pedoman dan panduan hidup oleh masyarakat, khususnya di negeri Kedah,” katanya ketika merasmikan Festival Al-Quran 3.0 di Stadium Suka Menanti.
Mohd Azam berkata, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah untuk memperluaskan ke sekolah-sekolah agama dan tahfiz bagi membiasakan pelajar memulakan sesi persekolahan dengan bacaan Al-Quran.
Tambah beliau, inisiatif tersebut diharap dapat dikembangkan ke seluruh masjid di negeri itu agar bacaan al-Quran menjadi amalan harian masyarakat sehingga ke peringkat keluarga.
“Tidak ada sebab anak-anak yang mengaku beriman kepada Allah SWT tidak mengetahui cara membaca Al-Quran. Pembudayaan ini mesti bermula dari rumah dan diteruskan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kehebatan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau pencapaian ekonomi, tetapi juga berdasarkan tahap penghayatan agama dan akhlak masyarakatnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat terutama golongan muda memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara positif bagi menyebarkan mesej serta pengajaran Al-Quran menerusi pelbagai platform media sosial.

Tiada ulasan